LOGO Dish pada salah satu kenderaan syarikat itu. FOTO AFP
LOGO Dish pada salah satu kenderaan syarikat itu. FOTO AFP
Agensi

Washington: Denda pertama kerana melanggar peraturan antiserpihan angkasa lepas di Amerika Syarikat (AS) dikenakan ke atas firma televisyen satelit selepas gagal melupuskan salah satu satelitnya dengan betul, lapor portal Independent.

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS mengenakan denda AS$150,000 (kira-kira RM710,100) ke atas Dish Network, sebuah syarikat TV satelit, kerana gagal melaksanakan deorbit (keluar orbit) satelit EchoStar-7nya, dengan betul.

"Ia menandakan penguatkuasaan serpihan angkasa pertama oleh suruhanjaya yang meningkatkan usaha dasar satelitnya, termasuk menubuhkan Biro Angkasa dan melaksanakan Agenda Inovasi Angkasa," kata FCC dalam satu kenyataan.

Ia juga termasuk penerimaan liabiliti daripada Dish Network dan perjanjian untuk mematuhi pelan pematuhan.

FCC mendapati syarikat itu memindahkan salah satu satelitnya pada penghujung misinya ke orbit jauh di bawah ketinggian yang diperuntukkan dalam syarat lesennya, tindakan yang dikatakan suruhanjaya itu - boleh menimbulkan kebimbangan mengenai serpihan angkasa.

Suruhanjaya persekutuan berkata, peraturannya akan menghalang gangguan dalam operasi satelit dan membolehkan meminimumkan penciptaan serpihan angkasa dan pelupusan bertanggungjawab satelit pada akhir misi mereka.

"Memandangkan operasi satelit menjadi lebih berleluasa dan ekonomi angkasa semakin pesat, kita mesti yakin bahawa pengendali mematuhi komitmen mereka," kata Ketua Biro Penguatkuasaan, Loyaan Egal.

Agensi Angkasa Eropah (ESA) menganggarkan terdapat 36,500 objek lebih besar daripada 10 sentimeter (sm) terapung di angkasa, dan kira-kira 130 juta keping 'serpihan angkasa; antara 1 milimeter (mm) hingga satu sm.

Bergerak pada kelajuan lebih 10,000 kilometer sejam, serpihan sampah angkasa lepas ini boleh menimbulkan risiko kepada satelit yang beroperasi di orbit.

Sementara itu, bilangan satelit di orbit boleh meningkat daripada hampir 9,000 pada masa ini kepada kira-kira 60,000 menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 3:29 PM