KERJA-KERJA untuk pelancaran satelit berkenaan. FOTO Zhejiang Geely Holding Group
KERJA-KERJA untuk pelancaran satelit berkenaan. FOTO Zhejiang Geely Holding Group
Reuters

Shanghai: Kumpulan Zhejiang Geely Holding China berjaya melancarkan satelit pertamanya minggu lalu dengan menghantar sembilan satelit itu ke orbit rendah bumi.

Pelancaran itu dibuat ketika kumpulan berkenaan membina rangkaian satelit untuk menyediakan navigasi lebih tepat bagi kenderaan tanpa pemandu (autonomous vehicle) atau AV.

Satelit GeeSAT-1 yang direka dan dihasilkan sendiri sudah dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Xichang di wilayah barat daya Sichuan.

Geely menjangkakan 63 satelit lagi berada di orbit menjelang 2025 dan akhirnya merancang untuk mempunyai 240 satelit.

Menerusi pelancaran itu, Geely menjadi pembuat kereta utama kedua yang mempunyai 'jaringan' di angkasa lepas.

SpaceX yang dimiliki oleh ketua eksekutif Tesla, Elon Musk mempunyai lebih daripada 2,000 satelit di orbit untuk rangkaian Starlinknya yang menawarkan perkhidmatan internet komersial.

Starlink merancang untuk mempunyai rangkaian generasi pertama sebanyak 4,408 satelit.

SpaceX menggunakan roketnya sendiri untuk melancarkan satelit, namun Geely menggunakan roket Long March 2C yang dibangunkan dan dikendalikan oleh entiti milik kerajaan China untuk melancarkan sembilan satelit berkenaan.

Selain menyediakan sokongan penentu kedudukan berketepatan tinggi kepada kereta pandu sendiri, Geely memberitahu rangkaiannya juga akan memenuhi fungsi komersial lain.

Satelit itu mempunyai jangka hayat operasi selama lima tahun dan akan hancur di atmosfera bumi tanpa meninggalkan sebarang serpihan di angkasa.

Rangkaian satelit China dikuasai oleh tenteranya, namun kerajaan mula membenarkan pelaburan swasta dalam industri angkasa negara berkenaan pada 2014.

Sejak itu, syarikat komersial, sebahagiannya disokong oleh kerajaan tempatan beralih ke sektor itu dengan majoriti menumpukan pada pembuatan satelit, manakala selebihnya cuba membina kenderaan pelancar kecil termasuk roket boleh guna semula.

Media kerajaan melaporkan, China kini mempunyai lebih 400 satelit yang digunakan di angkasa, termasuk satelit milik komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 6:45 AM