PESAWAT Cessna 560 Citation V terhempas di Hutan Negara George Washington. FOTO AFP
PESAWAT Cessna 560 Citation V terhempas di Hutan Negara George Washington. FOTO AFP
AFP

Washington: Pegawai penerbangan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menyiasat nahas maut sebuah pesawat persendirian di ibu negara negara itu, yang menyebabkan jet pejuang F-16 dikerahkan ketika kejadian.

Cessna Citation merempuh kawasan pergunungan petang Ahad di Virginia, kira-kira 275 kilometer di barat daya Washington, mengorbankan keempat-empat penumpangnya, kata pegawai.

Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (Norad) berkata, jet F-16 dihantar untuk memintas "pesawat Cessna 560 Citation V yang tidak bertindak balas di atas Washington DC, dan utara Virginia."

Norad berkata, suar dikeluarkan untuk cuba menarik perhatian juruterbang pesawat berkenaan tetapi tiada tindak balas dan pesawat persendirian itu akhirnya terhempas berhampiran Hutan Negara George Washington.

"Norad cuba berhubung dengan juruterbang sehingga pesawat itu terhempas," katanya dalam satu kenyataan.

F-16 mencetuskan ledakan sonik di seluruh Washington dan pinggir bandarnya, mengejutkan penduduk dan menggegarkan tingkap sejauh beberapa kilometer.

"Pesawat Norad diberi kuasa untuk melakukan perjalanan pada kelajuan supersonik dan ledakan sonik mungkin didengari oleh penduduk di wilayah itu," kata Norad.

Pakar penerbangan membuat spekulasi bahawa juruterbang pesawat Cessna itu mungkin hilang upaya akibat penurunan tekanan pesawat, yang boleh menyebabkan individu tidak sedar dalam masa yang cepat pada ketinggian melebihi 3,000 meter.

Kehilangan tekanan kabin dipersalahkan atas kemalangan pesawat Learjet pada 1999 yang mengorbankan pemain golf, Payne Stewart dan empat individu lain.

Dalam kes itu, pesawat Learjet yang dalam penerbangan dari Florida ke Texas, terbang selama berjam-jam selama beribu-ribu kilometer secara autopilot sebelum akhirnya kehabisan minyak dan terhempas di Dakota Selatan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan berkata, pihaknya sedang menyiasat kemalangan pada Ahad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:33 AM