AP

Raleigh: Lima maut termasuk seorang anggota polis yang tidak bertugas, dalam tragedi tembakan di ibu negeri North Carolina, Raleigh di Amerika Syarikat (AS), pada Khamis.

Selepas berjam-jam melarikan diri, suspek yang masih remaja itu dikepung di sebuah rumah dan berjaya ditahan sekitar 9.37 malam, kata polis.

Suspek melakukan tembakan rawak yang membunuh lima orang awam itu sekitar 5 petang di sepanjang Neuse River Greenway, berhampiran kawasan perumahan timur laut pusat bandar, menurut Datuk Bandar Raleigh Mary-Ann Baldwin.

Agensi penguatkuasaan dari pelbagai agensi memenuhi lokasi kejadian, menutup jalan dan memberi amaran kepada penduduk untuk tidak keluar rumah ketika suspek belum ditahan.

Selain lima mangsa terbunuh, dua yang lain, termasuk seorang lagi anggota polis dibawa ke hospital untuk menerima rawatan berikutan serangan itu.

Anggota polis terbabit dilaporkan sudah dibenarkan keluar hospital, bagaimanapun seorang lagi mangsa yang terselamat masih kritikal.

"Malam ini, keganasan sampai ke depan pintu kita. Mimpi ngeri kepada komuniti kini menghantui Raleigh. Ini adalah perbuatan keganasan menjengkelkan yang tidak masuk akal," kata Gabenor Roy Cooper kepada pemberita.

POLIS melakukan siasatan di lokaasi kejadian. FOTO AP
POLIS melakukan siasatan di lokaasi kejadian. FOTO AP

Pihak berkuasa ketika ini tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai motif serangan suspek itu, tetapi Baldwin menyertai Cooper mengecam keganasan itu.

"Kita mesti menghentikan keganasan tidak berakal ini di AS, keganasan senjata api perlu ditangani," kata Datuk Bandar.

Tragedi tembakan di Raleigh itu adalah yang terbaru dalam seminggu selepas lima mangsa terbunuh pada Ahad dalam kejadian sama di sebuah rumah di Inman, Carolina Selatan.

Pada malam Rabu, dua anggota polis maut ditembak di Connecticut apabila diserang selepas menerima panggilan kecemasan.

Anggota polis ditembak minggu ini di Greenville, Mississippi; Decatur, Illinois; Philadelphia, Las Vegas dan Florida tengah. Dua daripada pegawai itu, seorang di Greenville dan seorang di Las Vegas, terbunuh.

Allison Greenawalt, 29, yang juga menetap di kawasan kejiranan lokasi kejadian berkata, dia berehat di rumah bersama kucingnya sebelum dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan, kira-kira 5 petang.

Greenawalt berkata, polis tiba dengan pantas ke lokasi kejadian dan dia bersyukur kerana pihak berkuasa dapat mengawal keadaan ketika penduduk berlindung di kediaman masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 3:56 PM