German mati dibunuh di luar rumahnya. FOTO AP
German mati dibunuh di luar rumahnya. FOTO AP
AP

Las Vegas: Seorang wartawan penyiasatan mati ditikam di luar rumahnya dan polis kini giat memburu suspek pembunuhan itu, kata pihak berkuasa.

Pegawai Polis Metropolitan Las Vegas menemukan wartawan itu, Jeff German mati dengan kesan tikaman sekitar 10.30 pagi pada Sabtu selepas menerima panggilan kecemasan 911, lapor Las Vegas Review-Journal.

Difahamkan, wartawan warga Jerman berusia 69 tahun itu bertelagah dengan individu lain yang membawa kepada pembunuhan terbabit dan ia dipercayai berpunca akibat kejadian terpencil, kata polis.

"Kami percaya pertengkaran itu berlaku di luar rumah," kata jurucakap Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas Kapten Dori Koren ketika sidang media.

"Kami mempunyai beberapa petunjuk. Kami masih memburu suspek tetapi penjenayah itu masih belum dikesan."

Editor eksekutif Review-Journal, Glenn Cook berkata, German tidak pernah memberitahu mengenai sebarang kebimbangan terhadap keselamatan dirinya atau ada menerima ancaman.

"Keluarga (penerbitan) Review-Journal sangat sedih dengan kehilangan Jeff (German)," kata Cook dalam satu kenyataan.

"Dia (German) ibarat emas dalam dunia berita. Sukar untuk membayangkan bagaimana Las Vegas hari ini, sejak bertahun-tahun tanpa cahaya dalam kegelapan."

German menyertai Review-Journal pada 2010 selepas lebih dua dekad bersama Las Vegas Sun, yang menyaksikan beliau bertindak sebagai kolumnis dan membuat liputan mengenai mahkamah, politik, buruh, kerajaan dan jenayah terancang.

Dia terkenal dengan berita mengenai penyelewengan kerajaan dan skandal politik serta liputan kejadian tembakan besar-besaran di festival muzik Las Vegas pada 2017 yang membunuh 60 individu dan mencederakan lebih 400 yang lain.

Menurut Review-Journal, German memegang ijazah sarjana dari Marquette University dan juga pengarang buku jenayah Murder in Sin City: The Death of a Las Vegas Casino Boss pada 2001 yang mengisahkan mengenai kematian Ted Binion, pewaris kekayaan Kelab Horseshoe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 11:00 AM