Penyokong Floyd berarak bagi memperingati ulang tahun pertama kematian pemuda itu di Minneapolis, Minnesota, AS. Foto AFP
Penyokong Floyd berarak bagi memperingati ulang tahun pertama kematian pemuda itu di Minneapolis, Minnesota, AS. Foto AFP
AFP

Washington: Serang tembakan di beberapa lokasi di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu menyebabkan 12 maut, manakala sekurang-kurangnya 49 cedera.

Kejadian berlaku selepas Presiden Joe Biden bulan lalu menyifatkan jenayah keganasan senjata api sebagai epidemik di negara itu.

Serangan maut itu berlaku di New Jersey, Carolina Selatan, Georgia, Ohio dan Minnesota.

Dua terbunuh apabila tembakan dilepaskan di sebuah rumah di Camden, New Jersey pada malam Sabtu dan sekurang-kurangnya 12 orang cedera, menurut polis.

Di Carolina Selatan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dibunuh, manakala 14 lagi cedera ketika menyaksikan konsert.

Polis di Atlanta, Georgia pula menemukan tiga mangsa tembakan awal pagi semalam selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tembakan itu.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut media AS.

Tiga lagi terbunuh dengan lapan lagi cedera di luar bar di Youngstown, Ohio, awal pagi semalam, manakala seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut dan tujuh lagi cedera di sebuah taman di Columbus.

Insiden tembakan maut turut berlaku di Minneapolis, Minnesota, malam sebelum penyokong dan ahli keluarga George Floyd (individu berkulit hitam yang dibunuh oleh pegawai polis berkulit putih) mengadakan perarakan semalam, bagi memperingati ulang tahun pertama kematian Floyd.

Dalam kejadian itu, seorang maut, manakala lapan lagi cedera dengan seorang mangsa dalam keadaan kritikal.

Polis Minneapolis memberitahu AFP bahawa suspek tembakan ditahan, manakala seorang lagi suspek terbunuh.

AS berdepan siri keganasan maut dalam tempoh beberapa bulan ini termasuk di fasiliti FedEx di Indianapolis.

Sebelum ini, Biden memperkenalkan enam langkah eksekutif bagi mengatasi krisis keganasan termasuk mengusulkan peraturan bagi mengekang pembuatan senjata api haram selain meningkatkan sokongan kepada agensi keselamatan dalam menangani keganasan dalam komuniti.

Penjualan senjata api melonjak pada awal penularan pandemik Covid-19.

Keseluruhannya, pada 2020 adalah antara tahun paling ganas di AS dalam tempoh beberapa dekad.

Sepanjang tahun ini, terdapat sekurang-kurangnya 200 siri tembakan di AS, menurut Arkib Keganasan Senjata Api. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:07 PM