FOTO The Siasat Daily
FOTO The Siasat Daily
Agensi

Washington: Laungan azan menerusi pembesar suara kini dibenarkan di salah sebuah bandar di Amerika Syarikat (AS), Minneapolis.

The Siasat Daily melaporkan, bandar di Minnesota itu membenarkan masjid setempat melaungkan azan menggunakan alat pembesar suara.

Majlis bandar raya meluluskan rang undang-undang yang dibentangkan oleh ahli majlis, Jamal Osman.

Mengikut rang undang-undang itu, laungan azan dibenarkan antara 7 pagi hingga 10 malam, namun tahap bunyi mesti dipatuhi.

Sambil mengalu-alukan keputusan majlis itu, Osman memberitahu, ia langkah tepat ke arah kesaksamaan agama.

Mengikut keputusan majlis bandar raya, masjid dibenarkan untuk melaungkan azan melalui pembesar suara tiga kali sehari, kecuali pada waktu solat Subuh dan Isyak.

Sambil menyatakan rasa gembira atas keputusan itu, Jamal berkata, keputusan berkenaan adalah tanda kesaksamaan dan komuniti yang telah kita bina di sini.

"Ini adalah AS dan kami dibenarkan berkongsi kepercayaan kami dari atas bumbung, sama seperti orang lain", katanya.

Azan pertama kali dibenarkan di AS di Hamtramck, Michigan, berikutan keputusan kerajaan tempatan pada 2004.

Kemudian, Dearborn menjadi bandar pertama dari negeri yang sama membenarkan laungan azan menerusi pembesar suara.

Dearborn adalah salah satu bandar di AS yang mempunyai majoriti Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 1:40 PM