WANG tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO
WANG tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO
Agensi

Washington: Dua pekerja penjagaan kesihatan Long Island ditahan polis kerana didakwa memalsukan kad vaksin Covid-19 dengan mengaut keuntungan lebih AS$1.5 juta (kira-kira RM6.3 juta).

Portal New York Post melaporkan, Julie DeVuono, seorang jururawat, 49, dan jururawat praktikal berlesen Marissa Urraro, 44, dituduh mengenakan caj AS$220 (RM920) untuk kad palsu untuk orang dewasa dan AS$85 (RM355) untuk kanak-kanak, kata Jabatan Polis Daerah Suffolk pada hari Jumaat.

"Sebagai jururawat, kedua-dua individu ini harus memahami kepentingan kad vaksinasi yang sah kerana kita semua bekerjasama untuk melindungi kesihatan awam," kata Pesuruhjaya Polis Daerah Suffolk Rodney K Harrison.

Wanita itu didakwa menjalankan penipuan dari November 2021 hingga bulan ini, daripada Wild Child Pediatric Healthcare di Amityville yang dimiliki dan dikendalikan oleh DeVuono, kata Pejabat Peguam Daerah Suffolk County kepada NBC 4.

Kedua-duanya kemudiannya akan menambah maklumat palsu ke dalam Sistem Maklumat Imunisasi Negeri New York (NYSIIS) untuk menyenaraikan secara palsu individu itu sebagai sudah divaksin.

Pada perbicaraan mereka pada Jumaat, pendakwa raya juga mendakwa pasangan itu memalsukan kad vaksin untuk pegawai Jabatan Polis New York (NYPD) yang menyamar, lapor NBC 4.

Penyiasat menemui wang tunai AS$900,000 (RM3.8 juta) di rumah DeVuono, kata pendakwa raya.

Rekod kewangan DeVuono menunjukkan kedua-duanya berjaya memperoleh keuntungan lebih daripada AS$1.5 juta.

Mereka juga didakwa atas tuduhan pemalsuan dan penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 1:06 PM