TALAVERA mengambil produk makanan tambahan keluaran The Kratom Distro yang membawa kepada kematiannya pada 2021. FOTO The Kratom Distro
TALAVERA mengambil produk makanan tambahan keluaran The Kratom Distro yang membawa kepada kematiannya pada 2021. FOTO The Kratom Distro
Agensi

Tallahassee, Amerika Syarikat: Kematian wanita Florida, Amerika Syarikat akibat mengambil makanan tambahan diperbuat daripada ketum terbela selepas keluarganya menerima pampasan AS$11 juta (RM49.67 juta).

Mereka menerima pampasan itu selepas menang kes saman terhadap pengeluar produk itu.

Menurut peguam keluarga wanita itu, Tamara Williams, pampasan diterima keluarga anak guamnya itu sebagai pengajaran kepada pihak lain.

"Pampasan bernilai AS$11 juta ini perlu menjadi peringatan kepada industri ketum mengenai bahan bahaya dan tidak terkawal ini," katanya seperti dilaporkan New York Post.

Pada 20 Jun 2021, jururawat, Krystal Talavera, 39, meninggal dunia selepas pengsan secara tiba-tiba di rumahnya di Boynton Beach.

Wanita itu ditemukan suaminya, Biaggio Vultaggio dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah mereka.

Turut dilihat berada berdekatan dengan mangsa ialah secawan kopi mengandungi makanan tambahan keluaran syarikat The Kratom Distro, Space Dust.

Produk itu yang diperbuat daripada daun ketum dan tidak menerima kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA).

Pejabat Koroner Daerah Palm Beach mengesahkan, kematian Talavera akibat mabuk mitragynine akut disebabkan daun ketum.

Anak wanita itu, Devin Filippelli, 21, yang memfailkan saman ke atas syarikat itu dan dan pengedarnya, Grow LLC mendakwa, makanan tambahan diambil ibunya itu menghasilkan kesan menyerupai opioid.

Katanya, ia menyebabkan kegagalan pernafasan sekali gus mengancam nyawa ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 11:27 AM