MARY Margaret Kreuper. FOTO Agensi
MARY Margaret Kreuper. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang biarawati di California didakwa kerana menipu lebih dari AS$800,000 (kira-kira RM3.3 juta) dari sebuah sekolah rendah Katolik untuk membayar wang perjudiannya.

New York Post melaporkan, Mary Margaret Kreuper, 79, akan mengaku bersalah ketika pendakwaan kes itu pada Selasa minggu lalu.

Dia didakwa terbabit penipuan dan pengubahan wang daripada sekolah St James Catholic selama 10 tahun, sehingga September 2018.

Dalam satu siaran akhbar dari pejabat peguam di daerah tengah California, Kreuper, yang juga pengetua sekolah selama 28 tahun itu, bersetuju untuk mengaku bersalah sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pendakwa raya.

Dia didapati menggunakan kedudukannya untuk menyalurkan AS$835,339 (kira-kira RM3.43 juta) daripada dana sekolah itu untuk membayar perbelanjaan yang 'tidak dipersetujui'.

Ia termasuk perbelanjaan perjudian besar di kasino dan caj kad kredit.

Pendakwa raya berkata, Kreuper bertanggungjawab mengawasi wang pelajaran, bayaran kepada sekolah dan derma amal.

Dia juga mengendalikan akaun kesatuan kredit sekolah yang digunakannya untuk mengalihkan dana lain ke dalam akaun itu.

Ia kemudian digunakannya untuk perbelanjaan perjudian terbabit.

Wanita itu juga mengaku memalsukan rekod kewangan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 4:06 PM