TUNJUK perasaan antikudeta di Yangon. FOTO AFP
TUNJUK perasaan antikudeta di Yangon. FOTO AFP
BERNAMA

New York: Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Wendy Sherman pada Selasa bertemu Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar Christine Schraner Burgener bagi membincangkan usaha untuk menghentikan keganasan tentera sejak rampasan kuasa, kata Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price, dalam satu kenyataan.

"Timbalan Setiausaha Sherman dan Utusan Khas Burgener membincangkan usaha masyarakat antarabangsa untuk membantu mengakhiri keganasan dan penindasan tentera, termasuk mendesak Asean memastikan tentera bertanggungjawab terhadap lima konsensus dan menyokong usaha rakyat untuk mengembalikan demokrasi di negara itu," kata Price.

Menurut Sputnik, dalam pertemuan di Washington itu, kedua-dua pegawai turut membincangkan usaha untuk memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar dan menggalakkan negara serantau membantu pelarian dan pencari suaka.

Dalam ucapannya di Majlis Keselamatan PBB di New York minggu lalu, Scharner Burgener menyuarakan kebimbangan mengenai situasi hak asasi manusia dan kemanusiaan di Myanmar, sejak rampasan kuasa 1 Februari.

Menurut utusan khas PBB itu, hampir 900 orang dibunuh oleh tentera dan negara itu kemungkinan bakal menghadapi perang saudara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 3:20 PM