VAKSIN Covid-19.
VAKSIN Covid-19.
AFP

Washington: Hanya kira-kira seorang dalam 100,000 orang yang menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech mengalami reaksi alahan teruk atau anafilaksis.

Pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) berkata, orang awam perlu maklum mengenai manfaat imunisasi melebihi risiko yang diketahui hasil pengambilan vaksin berkenaan.

Data diperoleh daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) itu mengumpulkan 21 kes anafilaksis selepas pemberian 1,893,360 dos yang dilaporkan antara 14 hingga 23 Disember lalu.

"Rata-ratanya mencapai kadar 11.1 kes anafilaksis bagi setiap sejuta dos yang diberikan," kata Pegawai Kanan CDC, Nancy Messonnier kepada wartawan, semalam.

Katanya, kes anafilaksis masih 'sangat jarang berlaku' namun tetap menjadi kepentingan kepada orang ramai untuk mengambil vaksin, terutama dalam konteks pandemik Covid-19 yang mempunyai risiko bahaya lebih tinggi terhadap kesihatan.

"Adalah lebih baik bagi seseorang mendapatkan vaksin Covid-19. Mujur kita tahu kaedah untuk merawat anafilaksis dan sudah menyediakan peruntukan di tempat imunisasi serta mereka yang memberikan vaksin bersedia untuk merawat anafilaksis," katanya.

Semua 21 kajian kes membabitkan pesakit berusia antara 27 hingga 60 tahun dengan kebanyakannya berusia 40 tahun dan semua dirawat dengan epinefrin, kecuali dua individu.

Gejala alahan dialami termasuk ruam, sakit tekak, lidah dan bibir bengkak, kesukaran bernafas, serak, mual dan batuk kering.

AS ketika ini membenarkan dua vaksin untuk kegunaan kecemasan satu dibangunkan Pfizer dan satu lagi oleh Moderna.

Mereka yang mengalami alahan pada dos pertama tidak diminta meneruskan suntikan dos kedua.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 6:35 PM