Mohd Dziehan Mustapa

Anafilaksis adalah keadaan alahan yang serius dan perlu dirawat segera.

Bagaimanapun, anafilaksis jarang berlaku dan tidak ramai individu yang pernah mengalami keadaan seperti ini.

Kebiasaannya, kesan anafilaksis akan pulih seperti sedia kala dengan bantuan perubatan dan pemberian ubat-ubatan tertentu.

Individu yang mengalami anafilaksis kebiasaannya akan batuk, berasa sesak pada dada, sukar bernafas dan menghasilkan bunyi berdehit (wheezing).

Anafilaksis juga ditunjukkan dengan gejala biasa alahan seperti ruam, kemerah-merahan dan gatal-gatal seluruh badan, hingus menjadi banyak menyebabkan hidung tersumbat, bengkak atau gatal pada bibir serta rasa loya serta perut memulas.

Penyebab anafilaksis

Anafilaksis berlaku apabila antibodi sepatutnya menyerang benda asing berbahaya memasuki tubuh, bertindak secara berlebihan terhadap sesuatu yang tidak memberikan ancaman, contohnya sesetengah jenis makanan.

Reaksi ini mungkin tidak berlaku pada kali pertama seseorang terdedah kepada bahan berkenaan.

Namun, kebarangkalian mengalami anafilaksis mungkin bertambah dalam sesuatu jangka masa.

Antara makanan yang mungkin menyebabkan anafilaksis termasuk kekacang seperti kacang tanah, kacang walnut, kacang hazel, gajus, kacang pistasio dan badam.

Anafilaksis juga boleh berlaku disebabkan haiwan laut bercengkerang, sesetengah jenis ikan atau makanan laut, susu, telur, soya dan gandum.

Selain itu, pengambilan ubat tertentu juga boleh menjadi punca anafilaksis.

Sebagai contoh, ubat antibiotik penisilin, aspirin, ibuprofen serta ubat-ubat lain daripada kumpulan 'nonsteroidal anti-inflammatory drugs' (NSAIDs), ubat antisawan, ubat bius dan vaksin (mungkin juga bahan tambahan yang terkandung dalam vaksin).

Faktor atau situasi lain yang diketahui boleh menyebabkan anafilaksis termasuk debunga, sengatan serangga seperti lebah, semut dan labah-labah, getah (contohnya apabila tersentuh sarung tangan getah, belon atau gelang getah) serta keadaan terlalu sejuk atau masuk dalam air sejuk secara mengejut.

Rawatan untuk anafilaksis

Epinefrin (atau dipanggil juga adrenaline) untuk rawatan anafilaksis terdapat dalam bentuk pen suntikan pakai buang yang mengandungi hanya satu dos.

Individu yang mempunyai sejarah anafilaksis disaran untuk menyimpan dua batang pen epinefrin dan membawanya sebagai ubat kecemasan.

Dapatkan nasihat perubatan daripada doktor berkaitan rawatan kecemasan menggunakan pen epinefrin.

Doktor akan mengesyorkan rawatan yang bersesuaian dengan keadaan alahan yang dialami.

Memandangkan ubat ini adalah ubat terkawal, pastikan doktor yang merawat memberikan preskripsi bagi mendapatkan ubat ini daripada sumber yang sah.

Sekiranya individu mengalami kesan anafilaksis, suntikan epinefrin perlu diberikan secepat mungkin.

Jika dos pertama tidak menghilangkan gejala anafilaksis, dos kedua mungkin diperlukan dalam tempoh lima hingga 15 minit selepas suntikan pertama, bergantung kepada tahap keseriusan gejala yang dihidapi.

Epinefrin bertindak dengan memberikan kelegaan pantas kepada gejala alahan yang dialami.

Jika boleh, jauhkan faktor pencetus yang diketahui menyebabkan anafilaksis daripada tubuh individu terbabit.

Baringkannya secara lurus melainkan individu terbabit tidak sedarkan diri, mengandung atau sedang mengalami kesukaran bernafas.

Individu berdekatan hendaklah menghubungi talian kecemasan dengan segera untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Jika individu terbabit dibiarkan tanpa rawatan, situasi ini boleh mengancam nyawa.

Nasihat untuk orang awam

Setiap individu yang mengetahui sejarah alahan masing-masing hendaklah memaklumkan perkara itu kepada petugas kesihatan.

Pasangan atau ahli keluarga turut perlu memainkan peranan ini, sekiranya individu yang mengalami alahan tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan.

Jika memiliki kad alahan, bawa kad itu setiap kali mendapatkan rawatan.

Maklumat mengenai alahan dialami, dinyatakan pada kad berkenaan dan petugas kesihatan yang memberi rawatan akan lebih peka semasa memberikan rawatan.

Pegawai Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah Klang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:56 AM