NKOSINATHI Phakathi. FOTO Agensi
NKOSINATHI Phakathi. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Mahkamah di Afrika Selatan mensabitkan seorang lelaki atas 90 pertuduhan merogol termasuk membabitkan kanak-kanak semuda sembilan tahun dalam kes yang menggemparkan negara.

Hukuman terhadap tertuduh, Nkosinathi Phakathi, 38, akan diputuskan pada awal bulan depan.

Mahkamah di Palm Ridge, dekat Johannesburg, diberitahu, Phakathi menyasarkan pelajar sekolah sebagai mangsa sepanjang tempoh melakukan keganasan selama sembilan tahun itu.

"Tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa ketika mereka pergi atau pulang dari sekolah atau bekerja pada waktu pagi atau petang... dia menyasarkan beberapa mangsa di rumah (mangsa) sendiri.

"Dia akan berpura-pura menjadi juruelektrik yang datang untuk membaiki peralatan rumah dan merogol (mangsa) ... dalam beberapa keadaan dia merogol lebih daripada seorang pada satu-satu masa, "kata jurucakap Pihak Berkuasa Pendakwaan Negara, Lumka Mahanjana dalam satu kenyataan.

Majoriti mangsa adalah kanak-kanak dengan paling muda berumur sembilan tahun, manakala yang paling tua, 44 tahun.

Phakathi melakukan perbuatan itu di sekitar Ekurhuleni, timur Johannesburg, antara 2012 dan 2021.

Menurut pihak berkuasa, Phakathi ditahan pada Mac tahun lalu, selepas cuba pergi semula ke salah sebuah rumah mangsanya.

Polis dilaporkan menembaknya di salah satu kaki tertuduh. Selepas kejadian itu, kakinya itu terpaksa dipotong.

Keputusan itu dibuat seminggu selepas Presiden Cyril Ramaphosa mendedahkan keganasan berasaskan jantina harus dianggap sebagai 'pandemik' utama yang menjejaskan negara, kerana tiada hari berlalu tanpa laporan baharu jenayah mengerikan itu.

Data polis menunjukkan jenayah rogol dan kesalahan seksual meningkat 13 peratus antara 2017/ 2018, dan 2021/ 2022.

Ramaphosa memberitahu pembunuhan wanita meningkat 52 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 11:45 AM