Presiden Tanzania, John Magufuli. FOTO AFP
Presiden Tanzania, John Magufuli. FOTO AFP
AFP

Dar Es Salaam: Kematian Presiden John Magufuli secara tiba-tiba menimbulkan tanda tanya mengenai penyakit yang meragut nyawanya dan seluruh Tanzania semalam berkabung susulan pemergiannya itu.

Bendera dikibarkan separuh tiang ketika negara ini mula berkabung selama 14 hari selepas Naib Presiden, Samia Suluhu Hassan, mengumumkan Magufuli meninggal dunia akibat 'masalah jantung' di sebuah hospital, di sini, kelmarin.

Mengikut Perlembagaan Tanzania, Hassan sepatutnya menjadi presiden wanita pertama negara ini dan akan mentadbir hingga tamat penggal pemerintahan Magufuli selama lima tahun pada 2025.

Kerajaan sebelum ini menafikan Magufuli jatuh sakit apabila tekanan mendesak penjelasan kian meningkat selepas masyarakat tidak melihat kelibat beliau selama hampir tiga minggu.

Malah, ketiadaannya itu turut mencetuskan khabar angin bahawa beliau sedang menjalani rawatan Covid-19 di luar negara.

Beberapa orang ditahan, minggu ini, kerana didakwa menyebarkan khabar angin dalam media sosial mengenai keadaan kesihatan Magufuli.

Parti pemerintah Tanzania, Chama Cha Mapinduzi (CCM), memaklumkan kepada pemberita bahawa jawatankuasa pusatnya akan mengadakan mesyuarat khas, esok.

Dalam pada itu, Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta yang juga ketua blok Komuniti Afrika Timur, mengarahkan Kenya untuk turut berkabung selama tujuh hari dan bendera dikibarkan separuh tiang di rantau berkenaan.

Kesatuan Afrika, pemimpin serantau, Britain dan Amerika Syarikat (AS) juga mengucapkan takziah atas pemergian Magufuli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 12:21 PM