Samia Suluhu Hassan memeriksa perbarisan tentera selepas pelantikannya sebagai presiden Mac lalu.
Samia Suluhu Hassan memeriksa perbarisan tentera selepas pelantikannya sebagai presiden Mac lalu.
AFP

Dar es Salaam: Tanzania akan memulakan program vaksinasi besar-besaran esok, selepas presiden barunya membuat keputusan berbeza berkaitan polisi pemberian vaksin.

Presiden sebelum ini, John Magufuli dikenali sebagai seorang yang skeptikal terhadap Covid-19, enggan melaksanakan pemakaian pelitup muka dan pemberian vaksin kerana percaya virus berkenaan boleh dicegah dengan kuasa doa.

Penggantinya, Samia Suluhu Hassan berkata, negara berkenaan sedang berdepan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 dan meminta rakyat Tanzania mengikut peraturan kesihatan yang ditetapkan untuk mengekang penularan.

Beliau akan mendapatkan suntikan berkenaan dan melancarkan kempen itu, kata Menteri Kesihatan, Dorothy Gwajima dalam kenyataan.

Program berkenaan akan dimulakan dengan vaksin satu dos keluaran Johnson & Johnson.

Ia menerima lebih sejuta dos dari Covax hujung minggu lalu.

"Pelancaran kempen ini adalah sejarah buat negara dalam usaha menentang penularan Covid-19.

"Pemberian vaksin adalah antara keadah yang dipercayai di seluruh dunia untuk melawan virus termasuk Covid-19," katanya.

Di bawah pemerintahan Magufuli, Gwajima mempromosi pengambilan jus sayur-sayuran dan kaedah alami untuk mencegah Covid-19.

Kerajaan berhenti mendedahkan data Covid-19 pada April 2020, dengan Magufuli mengatakan bahawa angka itu menakutkan orang dan menggambarkan vaksin sebagai 'berbahaya'.

Ketika pengumuman angka itu dihentikan, ia melaporkan 509 kes dan 16 kematian.

Tetapi selepas kematian Magufuli pada Mac lalu, Hassan membentuk pasukan petugas pakar untuk menasihati cara terbaik menangani wabak berkenaan.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan garis panduan kesihatan baru pada 25 Julai lalu, termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam.

Namun, tahap kepatuhan sangat teruk, khususnya dalam bas yang sesak.

Tanzania, negara yang berjumlah 58 juta orang, adalah antara tiga negara di benua Afrika yang belum mula menginokulasi warganya, selain Eritrea dan Burundi.

Magufuli, yang diberi gelaran 'Bulldozer' kerana gaya kepemimpinannya yang tegas, meninggal dunia atas alasan yang diberikan kerajaan sebagai masalah jantung selepas hilang secara misteri selama tiga minggu.

Pengkritiknya mengatakan bahawa dia dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:43 PM