BENDERA AS dikibar separuh tiang. FOTO/AGENSI
BENDERA AS dikibar separuh tiang. FOTO/AGENSI
AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump akhirnya tunduk kepada tekanan untuk berkabung susulan kematian John McCain, mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara, ketika senator itu menyelar Trump dalam mesej terakhir kepada Amerika Syarikat.

Arahan dibuat selepas Trump mendapati beliau terbabit dalam kontroversi berhubung kegagalannya memberi penghormatan kepada McCain, yang meninggal dunia Sabtu lalu pada usia 81 tahun selepas setahun bertarung dengan barah otak.

Apabila kumpulan veteran melancarkan rayuan memberikan lebih penghormatan kepada McCain, yang pernah dipenjarakan lebih lima tahun di Vietnam, Trump, yang memang tidak menyenangi senator Arizona itu, bertindak sebaliknya.

“Walaupun berbeza pandangan mengenai dasar dan politik, saya hormat khidmat Senator John McCain kepada negara,” katanya dalam kenyataan ketika mengarahkan bendera di Rumah Putih dan di tempat lain dikibarkan separuh tinggal sehingga majlis persemadian McCain Ahad ini.

Bendera di Rumah Putih dikibarkan separuh tiang selepas kematian McCain Sabtu lalu, tetapi dinaikkan semula pagi semalam.

Sikap berdiam diri Trump mengenai McCain menggariskan beliau dipinggirkan dan menyemarakkan kritikan kegagalannya menyatukan negara itu walaupun ketika ia menangisi kematian tokoh yang dilihat sebagai wira AS dan ikon politik.

Di Phoenix, bekas pengurus kempen calon presiden dua kali itu, Rick Davis, mengesahkan Trump tidak akan menghadiri majlis persemadian.

Bagaimanapun, Naib Presiden Mike Pence, dijangka berucap pada majlis menghormati McCain di Capital Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 12:06 PM