JUALAN tiket filem adiwira Marvel, Avengers: Endgame yang mencecah AS $500 (RM2,040) sekeping di ebay.
JUALAN tiket filem adiwira Marvel, Avengers: Endgame yang mencecah AS $500 (RM2,040) sekeping di ebay.
Reuters

LOS ANGELES: Tiket jualan awal filem adiwira Marvel, Avengers: Endgame melepasi jualan bagi dua filem terakhir Star Wars dan ada yang dijual semula di eBay dengan harga mencecah AS $500 (RM2,040) sekeping.

Dua laman web tiket popular di Amerika Syarikat (AS), Fandango dan Atom berkata, hari pertama jualan awal bagi filem itu melepasi filem Star Wars: The Force Awakens pada 2015 dan Star Wars: The Last Jedi pada 2017, lapor Reuters,

Atom berkata, filem terbabit mencipta rekod bagi perkhidmatan tempahan di telefon pintar apabila tiket terjual tiga kali ganda dalam tempoh sejam pertama berbanding filem Avengers: Infinity War pada tahun lalu.

Menerusi laman eBay, sekeping tiket bagi hari pertama di panggung IMAX ditawarkan pada harga AS $500 dan bagi tiket lain pula, harga bidaan bermula pada AS $35 (RM142).

Bagaimanapun, kebanyakan peminat filem adiwira itu mengeluh dan menyuarakan rasa tidak puas hati di media sosial apabila sukar untuk mendapatkan tiket di laman web berkenaan.

“Avengers: Endgame” akan mula ditayangkan di Australia dan China pada 24 April ini manakala AS pula pada 25 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:22 PM