ZELENSKIY mendahului dengan 30.2 peratus undi. FOTO/REUTERS
ZELENSKIY mendahului dengan 30.2 peratus undi. FOTO/REUTERS
Agensi

KIEVl: Seorang pelawak Ukraine membuat kejutan apabila mendahului pusingan pertama undian dalam pilihan raya Presiden dan meninggalkan penyandang jawatan itu, Petro Poroshenko jauh di belakang.

Volodymyr Zelenskiy yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam kerajaan, mendapat 30.2 peratus undi manakala Poroshenko pula dengan 16.6 peratus undi.

Manakala bekas perdana menteri Yulia Tymoshenko pula hanya mendapat 13 peratus undi, berdasarkan undian yang dikira hari ini.

Dua calon teratas itu akan bertanding dalam pusingan kedua pada 21 April nanti.

Zelenskiy sebelum ini dikenali dengan rancangan televisyen, Servant of The People apabila membawa watak seorang guru yang menjadi presiden untuk menentang rasuah.

Seperti watak fiksyen itu, dia turut berkempen menentang rasuah selain memberi fokus untuk menamatkan konflik dengan pemisah disokong Russia di timur wilayah negara yang memboikot undian pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 9:08 PM