GIGI putih mutiara tumbuh ke dalam lubang hidung lelaki yang tidak bernama.
GIGI putih mutiara tumbuh ke dalam lubang hidung lelaki yang tidak bernama.
Agensi

COPENHAGEN: Doktor membuat penemuan mengejutkan terhadap seorang lelaki berusia 59 tahun yang mempunyai masalah pernafasan sejak dua tahun lalu, apabila mendapati sebatang gigi tumbuh dalam lubang hidung lelaki berkenaan.

Menurut doktor, pertumbuhan aneh gigi itu dikenali sebagai gigi tersimpan intranasal berpunca daripada kerosakan fizikal atau masalah ketumbuhan.

Daily Mail melaporkan, lelaki berkenaan berjumpa dengan doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di Hospital Universiti Aarhus di Aarhus, Denmark selepas kehilangan deria bau disebabkan hidung tersumbat.

Dalam laporan yang disiarkan jurnal BMJ Case Reports, jelas menunjukkan gigi berwarna putih dalam lubang hidung lelaki yang tidak dinyatakan nama itu.

DISANGKA tumor atau cyst tetapi rupa-rupanya gigi.
DISANGKA tumor atau cyst tetapi rupa-rupanya gigi.

Pada awalnya, doktor di hospital terbabit hanya membekalkan lelaki itu dengan steroid hidung bagi mengurangkan bengkak tetapi kesakitannya berlanjutan lalu dia berjumpa dengan Dr Milos Fuglsang.

Fuglsang dalam laporan menyatakan, pemeriksaan mendapati hidung lelaki itu bengkok ke satu sisi dan terdapat ketumbuhan dalam rongga hidungnya, membuat keputusan untuk membedahnya.

Melalui pembedahan itu Fuglsang mendapati ketumbuhan berkenaan ialah gigi yang tidak dapat dipastikan bagaimana boleh tumbuh dalam lubang hidung.

“Lelaki itu pernah patah rahang dan hidung ketika muda yang memerlukan pembedahan pembinaan semula,” katanya.

Lelaki itu pulih selepas sebulan gigi berkenaan dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:36 PM