GAMBAR fail, sistem pertahanan udara S-300 buatan Russia. - Agensi
GAMBAR fail, sistem pertahanan udara S-300 buatan Russia. - Agensi
Reuters

Moscow: Kerajaan Russia tidak berbincang dengan Syria berhubung membekalkan peluru berpandu canggih darat ke udara S-300 dan tidak beranggapan negara itu memerlukannya, kata akhbar Izvestia yang memetik pegawai Kremlin semalam.

Komen pembantu Presiden Vladimir Putin, Vladimir Kozhin itu dibuat susulan lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu ini.

Netanyahu sebelum ini berusaha keras melobi Putin supaya tidak membekalkan peluru berpandu berkenaan kepada Syria.

Russia pada minggu lalu memberi bayangan untuk membekalkan peluru berpandu itu kepada Syria selepas tentera Barat diketuai Amerika Syarikat melancarkan serangan udara terhadap negara itu.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, serangan berkenaan membuang halangan moral Moscow daripada membekal peluru berpandu berkenaan dengan akhbar Kommersant memetik sumber tentera bahawa penghantaran dilakukan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, komen terbaru Kozhin tidak lama selepas perbincangan antara Netanyahu dan Putin menunjukkan usaha pemimpin Yahudi itu membuahkan hasil.

“Buat masa ini, kami tidak membincangkan sebarang penghantaran sistem pertahanan udara terbaru,” kata Kozhin ketika ditanya mengenai kemungkinan membekalkan Syria dengan S-300.

“Tentera Syria sudah mempunyai apa yang diperlukan,” tambahnya.

Israel sebelum ini beberapa kali memujuk Moscow untuk tidak menjual S-300 kepada Syria kerana bimbang ia menjejaskan kemampuan udara tentera Yahudi itu terhadap penghantaran senjata kepada kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Sistem yang mempunyai beberapa versi dan kemampuan tertentu itu mampu melancarkan peluru berpandu daripada trak dan direka untuk menembak jatuh pesawat tentera serta peluru berpandu jarak sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 2:10 AM