ANGGOTA tentera Ukraine berkawal di kawasan barat laut Kyiv. FOTO AFP
ANGGOTA tentera Ukraine berkawal di kawasan barat laut Kyiv. FOTO AFP
AFP

Moscow: Pihak berkuasa Russia berkata pasukan tenteranya berjaya memusnahkan lebih 70 kemudahan ketenteraan Ukraine termasuk 11 lapangan pesawat.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Igor Konashenkov berkata, sebanyak 74 kemudahan darat tentera Ukraine dimusnahkan pasukan tentera Rusia.

Menurutnya, selain 11 lapangan terbang, tiga pusat pemerintah dan 18 stesen radar sistem peluru berpandu antipesawat S-300 dan Buk-M1 dimusnahkan.

"Sebuah helikopter tentera dan empat dron turut ditembak jatuh," katanya.

Konashenkov berkata, pasukan pemisah meneruskan serangan disokong angkatan tentera Rusia.

Menurutnya, 'kumpulan nasionalis bersenjata' berterusan membuat penentangan dan mendakwa tentera Ukraine mahu meninggalkan kawasan peperangan.

Dia turut mendakwa Menteri Pertahanan Sergei Shoigu sudah mengarahkan tentera Rusia untuk 'melayan tentera Ukraine dengan hormat.'

Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine dengan letupan dapat didengari di ibu negara dan bahagian lain di negara jirannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 10:55 PM