BOMBA memadam kebakaran di bangunan di Kyiv yang terkena serangan dilancarkan tentera Rusia. FOTO AFP
BOMBA memadam kebakaran di bangunan di Kyiv yang terkena serangan dilancarkan tentera Rusia. FOTO AFP
AFP

Moscow: Tentera Rusia menyasarkan infrastruktur ketenteraan Ukraine dengan peluru berpandu dari udara dan laut, kata Kementerian Pertahanan negara itu, hari ini, ketika Moscow meneruskan pencerobohan ke atas negara pro-Barat itu.

"Pada waktu malam, angkatan tentera Persekutuan Rusia melancarkan serangan dengan senjata jarak jauh menggunakan peluru berpandu jelajah udara dan laut terhadap infrastruktur tentera Ukraine," kata jurucakap kementerian pertahanan, Igor Konashenkov dalam kenyataan di televisyen.

Beliau berkata, tentera Rusia hanya menyasarkan infrastruktur ketenteraan tanpa merosakkan "infrastruktur kediaman dan sosial".

Dakwaan itu dibuat walaupun terdapat bukti mengenai bangunan kediaman turut dibedil.

Bercakap pada hari ketiga pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Konashenkov juga berkata, tentera Rusia mengambil "kawalan penuh" bandar tenggara, Melitopol.

"Askar Rusia mengambil semua langkah untuk memastikan keselamatan orang awam dan mengecualikan provokasi daripada perkhidmatan khas Ukraine dan nasionalis," kata jurucakap itu.

Secara keseluruhan, Konashenkov berkata, tentera Rusia memusnahkan lebih 820 kemudahan infrastruktur ketenteraan di Ukraine termasuk 14 lapangan terbang, 48 stesen radar dan 24 sistem peluru berpandu antipesawat S-300 dan Osa.

Tentera Rusia juga mengesahkan menembak jatuh tujuh jet pejuang, tujuh helikopter dan sembilan dron, katanya sambil menambah 87 kereta kebal dan kenderaan berperisai lain turut musnah.

Tentera laut Rusia memusnahkan lapan bot tentera, kata Konashenkov.

Dia tidak memberikan butiran mengenai sebarang kerugian Rusia dalam pertempuran itu dalam menghadapi kenyataan dari Kyiv, mereka menyebabkan kerosakan besar kepada tentera Moscow.

Bermula Khamis, pemimpin Rusia Vladimir Putin melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine yang membunuh berpuluh-puluh orang, memaksa lebih 50,000 melarikan diri dari Ukraine dalam masa 48 jam sahaja dan mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih besar di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 4:41 PM