AHED Tamimi
AHED Tamimi
Reuters

Tebing Barat: Remaja perempuan Palestin yang menyepak dan menampar tentera Israel di Tebing Barat, akan dihukum penjara sehingga lapan bulan selepas bersetuju tawaran mengaku salah.

Menurut peguamnya, Gaby Lasky, melalui persetujuan itu yang diluluskan mahkamah, Ahed Tamimi, 17, akan mengaku salah bagi tuduhan menyerang dan akan dihukum penjara sehingga lapan bulan serta denda 5,000 shekels (RM5,560).

Tentera Israel mengesahkan persetujuan itu.

Menurut Lasky, tempoh hukuman penjara itu termasuk tempoh Ahed berada dalam tahanan sejak Disember lalu.

Ahed dianggap wira Palestin selepas rakaman kejadian di luar rumahnya di perkampungan Nabi Saleh, pada 15 Disember lalu, tersiar di media sosial.

Ahed yang ketika kejadian berusia 16 tahun, menampar dan menendang kaki tentera Israel selepas mereka menyerbu rumah keluarganya dan menembak mata sepupunya dengan peluru getah.

Kes remaja Palestin ini menarik perhatian dunia dan Amnesty International menggelar Ahed sebagai “Mawar Palestin”.

Malah, ketika perbicaraan, mahkamah sentiasa penuh dengan wartawan, diplomat dan pemerhati antarabangsa menyaksikan Ahed dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari.

Perbicaraannya bermula bulan lalu dan dia berdepan 12 pertuduhan, termasuk serangan mencederakan.

Menurut Lasky, ibu Ahed dan sepupunya turut ditahan dan mereka juga menerima tawaran pembelaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 1:49 AM