GAMBAR bertarikh 2 November 2012 menunjukkan Ahed (tengah) mengancam untuk menumbuk askar Israel dalam satu bantahan di Tebing Barat. - AFP
GAMBAR bertarikh 2 November 2012 menunjukkan Ahed (tengah) mengancam untuk menumbuk askar Israel dalam satu bantahan di Tebing Barat. - AFP
Reuters

Singapura: Kerajaan Singapura melarang satu festival filem menayangkan satu dokumentari mengenai remaja perempuan Palestin yang didakwa di mahkamah selepas menampar dan menendang askar Israel.

Ahed Tamimi, 16, menjadi simbol penentangan Palestin terhadap penjajahan Israel selepas video dia menyerang askar Zionis itu tular di media sosial.

Pihak Berkuasa Pembangunan Media Singapura (IMDA) memberitahu, filem Radiance of Resistance itu “terpesong” dan berpotensi memecah belahkan penduduk pelbagai etnik di negara itu.

Menurut IMDA, dokumentari yang melihat konflik Palestin-Israel daripada kaca mata Ahed dan seorang lagi aktivis muda wanita adalah kurang imbang balas.

“Jalan cerita itu yang melencong berbentuk hasutan dan berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan pelbagai bangsa dan agama di Singapura,” kata IMDA dalam satu kenyataan.

AHED (kiri) digari dan dikawal ketat ketika didakwa di sebuah mahkamah tentera Israel di Tebing Barat pada Isnin lalu. - AFP
AHED (kiri) digari dan dikawal ketat ketika didakwa di sebuah mahkamah tentera Israel di Tebing Barat pada Isnin lalu. - AFP

Dokumentari itu dijadual ditayangkan pada Festival Filem Palestin di Singapura pada Khamis ini.

Filem itu ditayangkan di beberapa festival di seluruh dunia pada 2017 dan memenangi anugerah Dokumentari Terbaik di Festival Filem Menghormati Hak Asasi Manusia di Belfast, Ireland Utara.

Namun, filem itu mula menjadi sebutan susulan penangkapan Ahed pada bulan lalu sebelum dia didakwa di mahkamah tentera Israel pada Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 9:09 AM