PASUKAN penyelamat terpaksa mendaki gunung untuk tiba di lokasi pesawat berkenaan dipercayai terhempas di tengah Iran selepas misi udara gagal akibat cuaca buruk. - Reuters
PASUKAN penyelamat terpaksa mendaki gunung untuk tiba di lokasi pesawat berkenaan dipercayai terhempas di tengah Iran selepas misi udara gagal akibat cuaca buruk. - Reuters
AFP

Teheran: Usaha pasukan penyelamat mencari bangkai pesawat penumpang Iran yang terhempas di pergunungan di Zagros berdepan kesukaran berikutan cuaca buruk dan ribut salji.

Menurut jurucakap Persatuan Palang Merah, beberapa helikopter yang berlepas sejurus Subuh untuk mencari pesawat penerbangan Aseman EP3704 yang membawa 66 penumpang itu terpaksa berpatah balik ke pangkalan.

“Malangnya sukar untuk helikopter meneruskan pencarian mereka memandangkan angin kencang dan kabus yang menjejaskan jarak penglihatan,” katanya kepada agensi berita Iran, IRNA.

Tambahnya, ratusan pendaki gunung dibantu anjing pengesan dan dron menjalankan operasi di sekitar gunung Dena setinggi 4,409 meter itu, yang popular dalam kalangan penduduk tempatan sebagai persediaan untuk mendaki gunung Himalaya.

Pesawat enjin berkembar jenis ATR-72 yang sudah berkhidmat selama 25 tahun itu dilaporkan hilang dari radar selepas 45 minit berlepas dari Teheran menuju ke bandar Yasuj, yang terletak kira-kira 500 kilometer ke selatan.

Pemancar pengesan kecemasan pesawat itu dilaporkan gagal berfungsi, sekali gus menyebabkan kedudukannya terhempas sukar dikesan.

Sementara itu, IRNA melaporkan, ahli keluarga penumpang memberikan sampel DNA bagi memudahkan mangsa yang dijumpai nanti dikenal pasti.

Pada 1994, pesawat jenis itu pernah terhempas dalam keadaan serupa di Indiana, Amerika Syarikat, menyebabkan beberapa pengendali mengelak melalui kawasan pergunungan yang sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 9:45 AM