AHLI keluarga penumpang menunggu di hadapan sebuah masjid berhampiran Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran. FOTO Ihsan AFP
AHLI keluarga penumpang menunggu di hadapan sebuah masjid berhampiran Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran. FOTO Ihsan AFP
AFP

RIBUT salji yang membadai kawasan pergunungan di Zagros, Iran menyebabkan usaha pencarian pesawat terhempas yang mengorbankan 66 penumpang, terpaksa ditangguhkan.

Persatuan Palang Merah berkata, sebanyak 45 pasukan dihantar ke Gunung Dena terletak di barat daya Zagros, namun sehingga kini tiada sebarang petanda bangkai pesawat berkenaan.

“Kawasan pergunungan sukar dilalui dan agak mustahil untuk menggunakan helikopter disebabkan keadaan kabus tebal, salji dan hujan,” kata ketua bantuan dan penyelamat, Morteza Salimi.

Pesawat EP3704 Penerbangan Aseman dilaporkan hilang dari radar selepas 45 minit berlepas dari Teheran.

Penumpang yang berada di dalam pesawat itu termasuk seorang kanak-kanak serta enam kru penerbangan.

Insiden itu adalah bencana ketiga yang menimpa Iran dalam beberapa bulan ini selepas gempa bumi mengorbankan sekurang-kurangnya 620 orang di Kermanshah pada November lalu.

Selain itu, 30 anak kapal warga Iran dilaporkan hilang dalam kejadian pelanggaran kapal tangki minyak di luar pantai timur China, bulan lalu.

Berita berkaitan

Terhempas bersama 66 penumpang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 10:39 AM