KEADAAN bandar Kobani di Syria yang musnah sepenuhnya akibat perang. - Foto Agensi
KEADAAN bandar Kobani di Syria yang musnah sepenuhnya akibat perang. - Foto Agensi
Reuters

Sofia: Kesatuan Eropah (EU) mempertimbang mengumpul dana pembinaan semula Syria yang musnah akibat peperangan dengan syarat Presiden Bashar al-Assad setuju menyertai rundingan damai anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

EU mendakwa persetujuan Bashar itu diperlu sebagai jaminan buat penyumbang utama kewangan dalam usaha rundingan damai tajaan PBB.

Buat masa ini, rundingan damai perang yang masuk tahun ketujuh itu hanya mencapai sedikit kemajuan.

Rundingan damai berkenaan tertangguh selepas campur tangan ketenteraan Russia dan Iran di Syria, sekali gus memberi kelebihan kepada Bashar menghadapi pemberontak.

Konflik membabitkan pelbagai pihak dan proksi itu menyebabkan ratusan ribu terbunuh dan jutaan penduduk menjadi pelarian.

Federica Mogherini, yang menjadi hos persidangan mengenai Syria pada 24 dan 25 April ini di Brussels, berkata beliau tidak sahaja menggesa sumbangan bantuan kemanusiaan, malah pemulihan lebih awal di Syria.

Dalam persidangan sama tahun lalu, EU bersedia menyumbang bantuan 1.2 bilion euro (RM5.8 bilion) kepada Syria.

Menurut Mogherini, EU bersedia menawarkan pakej bantuan kewangan baru tahun ini dan menjangka lebih 70 negara bersedia menyumbang kepada dana itu.

Beliau berkata, EU menyokong pemberontak Syria agar bersatu dan bersedia menyertai rundingan damai.

“Namun, kami menghadapi masalah (meneruskan rundingan damai itu) kerana EU tiada pengaruh dalam kerajaan Syria,” katanya.

Selepas membantu Bashar memenangi perang di Russia kini menganggap ia sebagai broker damai Asia Barat yang menjadi penentu kesediaan kerajaan Syria menyertai rundingan damai PBB itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:21 AM