KAPAL pengangkut pesawat Laksamana Kuznetsov. -  EPA
KAPAL pengangkut pesawat Laksamana Kuznetsov. - EPA

Moscow: Tentera Russia semalam berkata, ia sudah mula mengurangkan kehadirannya di Syria dengan satu-satunya kapal pengangkut pesawatnya diarah meninggalkan zon konflik itu.

“Selaras dengan keputusan pemerintah tertinggi tentera Russia, Vladimir Putin, kementerian pertahanan mula mengurangkan kehadiran tentera negara ini di Syria,” kata panglima tentera, Valery Grasimov dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.

Dia mengarahkan pasukan tentera laut yang diketuai kapal pengangkut pesawat Laksamana Kuznetsov dan beberapa kapal perang yang mengiringinya memulakan persiapan serta-merta untuk kembali ke pelabuhan asalnya di Garisan Arctic.

Sementara itu, pemimpin tentera Russia di Syria, Andrei Kartapolov berkata, tugas yang ditetapkan kepada kumpulan kapal itu sudah dipenuhi sepanjang misi ketenteraannya.

Menurutnya, pesawat Russia di kapal itu melakukan 420 penerbangan dan mengebom 1,252 sasaran kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad sepanjang dua bulan terbabit dalam perang di Syria.

Kartapolov juga mengesahkan Russia masih mempunyai keupayaan pertahanan udara mencukupi di Syria.

Russia bersama Turki dan Iran ketika ini berusaha menganjurkan rundingan damai yang dirancang diadakan hujung bulan ini di Astana, Kazakhstan.

Moscow mula melancarkan kempen pengebomannya di Syria pada September 2015. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:10 AM