SEORANG wanita yang cedera menjaga anaknya yang terlantar di hospital akibat serangan udara di Barzeh, Damsyik. - EPA
SEORANG wanita yang cedera menjaga anaknya yang terlantar di hospital akibat serangan udara di Barzeh, Damsyik. - EPA
AFP

Beirut: Tentera kerajaan Syria semalam meningkatkan kempen serangan di kawasan penentang di sekitar Damsyik hanya beberapa hari sebelum rundingan damai dimulakan semula di Geneva.

Wakil penentang dan rejim Presiden Bashar al-Assad sepatutnya berbincang di Switzerland, Khamis ini dalam usaha menamatkan perang saudara enam tahun.

Namun, semalam tentera rejim meningkatkan serangan bom di pinggir ibu negara Syria itu, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) serta aktivis di tempat kejadian.

“Tujuh orang maut dan 12 cedera akibat serangan udara di Barzeh, bahagian dipegang penentang di utara Damsyik,” kata SOHR.

Aktivis media, Hamza Abbas berkata, semalam masuk hari ketiga kejiranan Qabun di mana dia berada mengalami serangan udara dan bom.

“Kami tidak henti mendengar tembakan dan bom yang menyasarkan tiga kejiranan termasuk Qabun,” katanya.

Pembangkang Syria kelmarin menyelar kempen bom yang dimulakan semula tentera kerajaan yang dianggap ‘mesej berdarah’ bertujuan mensabotaj usaha damai.

Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC) berkata, serangan berkenaan menggugat usaha perubahan politik di Syria.

“Ia mesej berdarah daripada rejim penjenayah, hanya beberapa hari menjelang rundingan politik di Geneva. Jelas ia menolak sebarang cadangan politik yang boleh dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan.

HNC ditubuhkan pada Disember 2015 dan kini kumpulan utama untuk pelbagai puak penentang Syria.

Rundingan damai di Switzerland, lusa, pusingan keempat perbincangan dilaksanakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun rakyatnya tidak mengharapkan hasil positif.

Aktivis media Radwan al-Homsi berkata, rekod menunjukkan keganasan meningkat selepas semua sesi rundingan di Geneva pada 2012, 2014, dan 2016.

“Kali ini juga nampaknya sama. Sekadar cakap saja. Kami sebenarnya takut setiap kali persidangan akan diadakan kerana ia pasti disusuli kempen tentera besar-besaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:04 AM