BERSAMA trofi yang dimenanginya.
BERSAMA trofi yang dimenanginya.
Fatin Farhana Japre


Hobi membela haiwan reptilia, mengumpul robot adiwira atau jam tangan sudah agak biasa dalam kalangan kita.

Namun hobi mengumpul gunpla sangat jarang didengari dan jumlah peminatnya juga agak kecil terutama dalam kalangan perempuan.

Berbeza dengan Shahira Balkis Abdullah, 20, dia remaja perempuan yang meminati hobi mengumpul gunpla sejak usia 17 tahun.

Meminati hobi yang dimonopoli lelaki tidak membataskan Shahira Balkis atau lebih mesra disapa Balkis untuk mencurahkan kreativiti yang dimiliki dalam menghasilkan gunpla menarik.

Menurut Balkis, minatnya ini tercetus sejak dia meminati anime dan cerita kartun Jepun.

“Saya sering menonton cerita kartun Jepun dan anime kalau ada masa lapang. Sampailah saya terjumpa anime gundam dan berhasrat memilikinya sebagai koleksi.

“Bermula dari situ, saya mula mengumpul figura gundam secara berperingkat serta menyertai dua kelab sekali gus iaitu Kelab Gunpla Builder Malaya dan Kelab Plamo Art.

“Menerusi kelab ini, saya sering bertukar-tukar model gundam dan idea untuk menghasilkan figura gundam yang menarik.

“Malah hobi ini menjadi lebih seronok apabila dilakukan secara beramai-ramai dan mengeratkan hubungan kami bagai sebuah keluarga,” katanya.

SEBAHAGIAN koleksi Gunpla yang di miliki oleh Shahira.
SEBAHAGIAN koleksi Gunpla yang di miliki oleh Shahira.

Berstatus sebagai suri rumah pada usia muda bukan alasan buat Balkis untuk berdiam diri dan tidak memanfaatkan hobi kegemarannya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini sanggup berhabis lebih RM3,000 untuk mengumpul lebih 20 koleksi figura gundam kesayangannya itu.

“Sebenarnya, suami saya turut mempunyai hobi yang sama malah kami juga berkenalan menerusi kelab gunpla.

“Jadi tiada masalah jika saya meluangkan masa lebih tiga jam untuk membina gundam kerana suami juga akan bersama-sama membantu.

“Kebanyakan gundam yang siap dibina, saya akan jual secara dalam talian secara kecil-kecilan menerusi laman sosial Facebook Akira Hobby World untuk menjana pendapatan sampingan.

“Biasanya ia dijual antara harga sekitar RM100 ke atas mengikut saiz gundam iaitu Perfect Grade (39 cm), Master Grade (24 cm), Real Grade (18 cm) dan High Grade (18 cm),” katanya.

Katanya, dia boleh ‘menghadap’ gundam lima jam sehari tanpa henti namun bergantung kepada idea.

“Biasanya kalau dah mula membina gundam memang susah nak berhenti lagi-lagi apabila mood dan idea mencurah secara tiba-tiba.

“Mungkin ada yang berpendapat hobi ini membuang masa, tetapi bagi saya ia bukan sekadar hobi malah membantu menjana pendapatan sampingan sebagai suri rumah.

“Ini juga dikira satu seni dan hanya individu sabar serta kreatif boleh menghasilkan gundam yang menarik.

“Penghasilan gundam memang sangat rumit lebih-lebih lagi ketika proses memasang komponen.

“Belum lagi masuk proses mengecat, mengeringkan cat dan sebagainya,” kata anak keempat daripada enam beradik ini.

Terbaru, Balkis baru saja menyertai pertandingan Gundam Builder World Championship di MyTown Cheras.

Siapa sangka Balkis sudah menjuarai pertandingan ini tiga tahun berturut-turut. Memang hebat!

SEBAHAGIAN koleksi Gunpla yang di miliki oleh Shahira.
SEBAHAGIAN koleksi Gunpla yang di miliki oleh Shahira.

Berkongsi persediaannya bagi menghadapi pertandingan itu, Balkis berkata, dia mula membina figura gumpla setahun sebelum tarikh pertandingan.

“Memang ‘builder’ perlu siapkan gundam terlebih dahulu dan hanya persembahkan kepada juri ketika hari pertandingan.

“Bagi tahun ini, saya perlu bersaing di bawah kategori terbuka A dengan lebih 200 peserta dari 13 negara seluruh dunia.

“Saya membina gumpla dari jenama Bandai dengan menambah senjata dan aksesori lain bagi nampak menarik.

“Bahan yang saya gunakan hanyalah daripada barang kitar semula seperti botol plastik.

“Selepas itu saya warnakan semula dengan warna merah jambu kegemaran saya.

“Rezeki berpihak kepada saya untuk meraih juara kategori terbuka A tapi saya tewas pada juara kategori terbuka B dari Malaysia untuk mewakili negara ke Jepun.

“Namun ini langsung tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba nasib lagi tahun depan,” katanya.

Balkis berkata, dia berharap lebih ramai lagi remaja terutama perempuan terdedah dengan hobi mengumpul gunpla ini.

“Hobi ini bukan saja untuk kanak-kanak tetapi orang dewasa pun ramai yang meminatinya.

“Mungkin remaja perempuan boleh mencuba hobi ini pula dan rasai keseronokan mengumpul sekali gus menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 1:02 PM