KOMUNITI MIM pada Visual Art Expo baru-baru ini.
KOMUNITI MIM pada Visual Art Expo baru-baru ini.
KUMPULAN pemuda yang menghiaskan kereta dengan gambar-gambar karakter animasi di Visual Arts Expo, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur.
KUMPULAN pemuda yang menghiaskan kereta dengan gambar-gambar karakter animasi di Visual Arts Expo, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur.
MENGHIASKAN basikal dengan gambar karakter animasi.
MENGHIASKAN basikal dengan gambar karakter animasi.
AQILAH beruntung kerana berkongsi minat sama dengan suami.
AQILAH beruntung kerana berkongsi minat sama dengan suami.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Sekali-sekala pasti kita pernah terlihat kereta yang 'meriah' dihiasi pelbagai karakter kartun, anime mahupun figura

aksi di jalan raya. Kehadiran kereta ini sememangnya menarik perhatian dan memukau pandangan. Percaya atau tidak, 'wow' mungkin perkataan pertama yang terucap bagi sesiapa yang melihatnya.

Sudah pasti, mempunyai hobi seumpama ini memerlukan kos yang agak besar kerana bahan diperlukan seperti pelekat terutama diimport atau tempahan khas berharga agak mahal.

Namun, dek minat yang mendalam, ramai peminatnya tidak kisah soal harga asalkan mereka dapat menghias kenderaan seperti yang diimpikan.

Di negara ini, terdapat satu komuniti yang menghias kenderaan mereka dengan pelekat berunsurkan anime atau karakter permainan video yang digelar Itasha.

Seorang ahli komuniti Malaysian Itasha Movement (MIM), Aqilah Salma Mansor, 28, berkata, dia mula terbabit dengan hobi seumpama itu sejak empat tahun lalu kerana terpesona keunikan serta daya kreativiti pemilik kereta yang hadir dalam setiap acara atau pertunjukan kereta.

Malah katanya, tarikan daripada rakan yang memiliki minat sama dalam Itasha menguatkan lagi minatnya untuk menceburi hobi ini dengan lebih mendalam.

“Kerana minat, saya menyertai komuniti MIM. Perjumpaan ahli kelab lebih tertumpu kepada acara yang dianjurkan kerana di situ kami boleh berkumpul bersama termasuk ahli dari seluruh Malaysia.

“Kami sentiasa berbincang mengenai perkembangan, hala tuju serta memberi inspirasi kepada mereka yang ingin menceburi hobi sebegini. Selain itu, kami gemar berbincang mengenai animasi Jepun yang terbaru, figura, menambah baik pelekat bagi meningkatkan daya kreatif setiap orang dan perkara berkaitan hobi ini.

“Selain dapat mengeratkan hubungan sesama ahli melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, mempunyai hobi seumpama ini dapat menjadikan masa terluang tidak dibazirkan begitu saja malah dapat berkenalan dengan ramai orang yang mempunyai minat sama.

“Kami juga dapat meluahkan minat melalui hobi sebegini dan keseronokan dapat berjumpa dengan rakan baru yang juga mempunyai hobi serupa. Ia dapat melupakan kesibukan kota yang dihadapi setiap hari dan melepaskan tekanan dengan hobi yang menggembirakan hati,” katanya.

Anak jati Sungai Besar, Sabak Bernam ini berkata, dia turut mempunyai minat mengumpul permainan dan kebanyakan barangan yang menjadi koleksi mereka dibeli secara dalam talian atau mencari koleksi di kedai permainan kerana koleksi ini diimport khas dari Jepun malah tidak semua menjual koleksi yang dimahukan.

Katanya, dia lebih menumpukan kepada koleksi Gundam seperti RX-78 gundam (RG), Zaku II (RG), Strike Freedom Gundam (RG), Star Winning Gundam (HG), ZAKU III(SD), Sinanju (HG), Unicorn Gundam Clear Version(SD).

Menurutnya, koleksi paling mahal pernah dimiliki ialah Star Winning Gundam kerana dia perlu membeli ketiga-tiga set memandangkan setiap set mempunyai transformasi yang unik. Malah bagi setiap set, dia terpaksa membelinya di tiga kedai berbeza kerana set ini tidak dijual dengan banyak.

“Koleksi yang saya miliki tidak dijual kerana setiap satu mempunyai nilainya tersendiri dan ada sesetengahnya saya membuat pengubahsuaian supaya nampak lebih menarik.

“Suami saya (Richee Rudeen) turut mempunyai minat yang sama dan sering kali berkongsi dengan saya mengenai koleksi Gundam terkini serta mempunyai idea yang bernas untuk direalisasikan pada masa akan datang. Suami memberi sokongan penuh kerana hobi ini sangat menarik.

“Saya bersyukur kerana suami amat memahami minat saya dan lebih menarik, banyak aktiviti dapat dilakukan bersama sekali gus mengeratkan hubungan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 3:21 PM