AKSI Gabit menunjukkan kemahirannya  menunggang motorcross.
AKSI Gabit menunjukkan kemahirannya menunggang motorcross.
Saiful Affendy Sapran

Jika melihat aksi pelumba supermoto dan motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh di atas trek, pasti ramai yang beranggapan pelumba yang lebih dikenali sebagai Gabit itu mempunyai deretan koleksi jentera beroda dua.

Masakan tidak, dengan skil tinggi mampu mengawal jentera dengan baik berbanding orang biasa, sudah pasti Gabit juga mempunyai hobi sama apabila menjalani kehidupan biasa di luar trek.

Namun, siapa sangka pelumba berbakat negara berusia 27 tahun itu tidak mempunyai walau satu pun motosikal!

Sebaliknya, Gabit yang berasal dari Rawang, Selangor lebih gemar mengumpul koleksi jentera empat roda dengan yang paling disayanginya adalah kereta pacuan empat roda (4X4) yang baru dibelinya dua tahun lalu.

“Bukan tak minat dengan motosikal, tetapi saya lebih meminati kereta. Sekarang memang saya tak ada motosikal langsung dengan motosikal yang digunakan untuk perlumbaan adalah daripada tajaan.

“Dulu ada sebuah motosikal tapi saya sudah jual,” katanya memulakan cerita.

Meneruskan ceritanya, Gabit berkata, dia meminati kenderaan pacuan empat roda kerana ia sebuah jentera yang cukup fleksibel untuk digunakan.

GABIT bersama keretanya.
GABIT bersama keretanya.

“Pertamanya dengan kenderaan ini saya boleh bawa motosikal untuk pergi ke trek bagi menjalani latihan.

“Selain itu saya boleh bawa keluarga berjalan-jalan di tempat yang tidak kira apa juga lokasinya kerana kenderaan seperti ini mampu berjalan di mana-mana permukaan,” katanya.

Jelas Gabit, sejak membelinya pada 2016, dia sudah menghabiskan kira-kira RM30,000 hanya semata-mata untuk menjadikannya lebih menarik.

“Selepas dua minggu keluar dari kedai kereta, saya sudah menukar warnanya daripada hitam kepada kuning.

“Saya juga ada menambah baik suspensi serta rim tayar. Saya rasa sehingga kini hampir RM30,000 sudah dihabiskan untuk kenderaan ini,” katanya.

Jika atlet lain dapat melupakan seketika rutin setiap hari apabila terbabit dengan hobi masing-masing, ia sebaliknya berlaku kepada Gabit.

“Saya akan berasa lebih tertekan kerana umpama ada saja tidak sempurna dengan kenderaan ini.

“Contohnya apabila menyertai pertandingan di luar negara, saya akan tertanya-tanya bilakah kereta saya boleh keluar dari bengkel selepas melakukan penambahbaikan,” katanya yang turut memiliki dua buah lagi kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 2:08 AM