MOHD Haffiz mengumpul figura mainan Kamen Rider sejak empat tahun lalu.
MOHD Haffiz mengumpul figura mainan Kamen Rider sejak empat tahun lalu.
Redzuan Muharam

Kamen Rider adalah antara siri rancangan televisyen dari Jepun yang terkenal ketika 1970-an hingga 1990-an dan tidak hairanlah jika kini masih mempunyai kelompok pengikut setia.

Lebih menarik, ada segelintir peminat yang sanggup membelanjakan wang bagi membeli figura mainan berkenaan untuk dijadikan koleksi peribadi kerana obses dengan watak dalam siri itu.

Mohd Haffiz Haffizie Azhan, 30, seorang daripadanya yang hingga kini mengumpul kira-kira 300 figura mainan pelbagai watak siri Kamen Rider.

Pemuda dari Pasir Mas, Kelantan ini berkata, hobi mengumpul koleksi itu bermula sejak empat tahun lalu dan bertahan hingga kini disebabkan minat dan kepuasan diperolehnya.

“Jika diikutkan, minat mengumpul koleksi figura mainan Kamen Rider itu ada sejak di sekolah menengah, cuma tidak berpeluang membelinya ketika itu kerana tiada wang simpanan sendiri.

“Jadi, apa yang boleh dilakukan hanyalah menonton sirinya setiap kali ia disiarkan di televisyen tapi sebagai peminat, tidak lengkap rasanya selagi belum memiliki koleksi figura mainan berkenaan.

“Sebab itu, saya tekad menyimpan wang untuk membeli koleksi diminati dan rasa puas apabila dapat memilikinya,” katanya.

ANTARA koleksi figura mainan Kamen Rider kepunyaan Mohd Haffiz.
ANTARA koleksi figura mainan Kamen Rider kepunyaan Mohd Haffiz.

Mohd Haffiz berkata, bermula dengan satu, koleksi kepunyaannya semakin bertambah dan sebahagiannya dibeli terus dari Jepun menerusi laman web atau portal jualan yang boleh dipercayai.

Bagi memastikan semua koleksi berkenaan dalam keadaan baik, Mohd Haffiz menyimpannya di dalam rak kaca khas di rumahnya.

“Harga figura mainan itu berbeza mengikut kualiti dan tempat pembuatannya iaitu sama ada dari Jepun atau China.

“Lebih vintaj sesuatu keluaran, lebih mahal harganya dan kebiasaannya, saya membelinya daripada penjual di Facebook jika bukan di portal jualan.

“Berdasarkan pengalaman, saya pernah membeli dengan serendah RM10 sementara paling mahal RM900,” katanya.

Menurut Mohd Haffiz, selain mengumpul figura mainan, dia turut memiliki koleksi helmet Kamen Rider dan karakter lain seperti Ultraman, One Piece, Dragon Ball, Hot Wheels, motosikal, Cybercop dan mainan vintaj.

ANTARA koleksi figura mainan Kamen Rider kepunyaan Mohd Haffiz.
ANTARA koleksi figura mainan Kamen Rider kepunyaan Mohd Haffiz.

Mohd Haffiz mengakui ada yang menganggap hobinya itu sia-sia namun tidak baginya yang menganggap ia satu cara menambah pendapatan jika tahu memanfaatkannya.

“Selain mengumpul, saya turut menjual barangan terpakai dari Jepun tapi bukan daripada koleksi sendiri terutama yang vintaj dan sukar ditemui antaranya helmet 1:1 Kamen Rider Ichigo.

“Kepuasan mengumpul sukar untuk digambarkan dengan kata-kata namun apa boleh saya katakan ia menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi koleksi peribadi dengan rakan yang mempunyai minat sama.

“Mujurlah keluarga memahami dan lebih menarik, anak turut meminati koleksi saya dan menunjukkan kecenderungannya terhadap hobi ini,” katanya.

ANTARA koleksi figura mainan Kamen Rider kepunyaan Mohd Haffiz.
ANTARA koleksi figura mainan Kamen Rider kepunyaan Mohd Haffiz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:50 AM