PELEPASAN peserta.
PELEPASAN peserta.
Nurul Husna Mahmud

Laluan nostalgia bermula dari Dataran Merdeka menyusur ke Jalan Raja kemudian menuju trek mendaki sekitar Muzium Islam sehingga Taman Burung Kuala Lumpur adalah antara laluan perlu ditempuh peserta Kuala Lumpur Night Challenge 2019.

Jarak satu pusingan lengkap sejauh 2.2 kilometer (km) itu tidak mudah kerana pemenang perlu memerah keringat seawal pelepasan sehingga garisan penamat.

Menariknya perlumbaan anjuran Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur bersama Kementerian Wilayah Persekutuan bersempena perayaan Hari Wilayah Persekutuan 2019 baru-baru ini sudah lebih 20 tahun ‘berehat’ selepas kali terakhir diadakan pada 1999.

Pengarah Program yang juga Setiausaha Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur Firdaus Arshad berkata, sambutan sangat menggalakkan apabila 391 peserta hadir bagi 21 acara sepanjang program.

BERMULA dan berakhir di Dataran Merdeka.
BERMULA dan berakhir di Dataran Merdeka.

“Acara kemuncak Kuala Lumpur Night Challenge 2019 tentu saja untuk kategori Lelaki Terbuka dan Lelaki Elit yang menyaksikan wakil negeri dan kelab saling bersaing dalam menempatkan diri dalam kedudukan terbaik.

“Menariknya saya melihat prestasi iaitu ada pelumba daripada kelab tertentu mempunyai potensi setanding atlit profesional.

“Acara ‘criterium’ ini biarpun ramai beranggapan cabarannya mudah pada jarak sekadar 2.2km, tetapi apabila bermain dengan kelajuan, ia setanding dengan acara yang menguji ketahanan sejauh 50km.

“Penganjuran acara sebegini penting dalam mengasah bakat pelapis terutama mereka yang mewakili negeri masing-masing bagi perlumbaan basikal.

“Tambah pula jagoan basikal negara Azizulhasni Awang juga dilahirkan menerusi perlumbaan sebegini sebelum beralih kepada acara keirin,” katanya.

SESI penyampaian hadiah.
SESI penyampaian hadiah.

Tambah Firdaus, acara itu turut memberi kelainan kepada ibu kota apabila mengetengahkan konsep ‘City of Speed’ dan diharap dapat diadakan setiap tahun dengan sokongan pihak berkuasa tempatan terutama Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Melihat impak positif apabila perlumbaan menampilkan kelainan dalam format penilaian. Ramai yang teruja terutama golongan muda yang sukakan kelajuan tetapi dengan kaedah lebih sihat dan selamat menerusi perlumbaan begini.

“Bukan saja Kuala Lumpur, kita juga mendapat penyertaan dari Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Tidak ketinggalan mereka juga dapat berentap dengan Pasukan Kebangsaan Korea yang turut mengambil bahagian dalam acara kali ini,” katanya.

Hadiah keseluruhan ditawarkan mencecah RM17,300 untuk peserta yang mengambil bahagian.

PESERTA asing memeriahkan perlumbaan.
PESERTA asing memeriahkan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:33 AM