KELUARGA turut membantu Karim dalam projek bertani terbabit.
KELUARGA turut membantu Karim dalam projek bertani terbabit.
Nurul Husna Mahmud

Minat Abdul Karim Sainuddin terhadap aktiviti berkebun sudah tertanam sejak kecil disebabkan orang tuanya Sainuddin Maddi dan Tumariah Hamid mencari rezeki dengan bercucuk tanam.

Sebati melihat ibu bapa mengerah kudrat mengerjakan tanah dan sering turun membantu memetik hasil daripada kebun antara nostalgia zaman kanak-kanak sukar dilupakan bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Justeru meskipun sudah mempunyai kerjaya stabil iaitu jurutera dalam industri minyak dan gas, minat terhadap aktiviti bertani masih mekar apabila dia menjalankan projek akuaponik di kediamannya.

KARIM dan isteri sering melihat kebun akuaponik di kediaman mereka.
KARIM dan isteri sering melihat kebun akuaponik di kediaman mereka.

“Sebenarnya saya pernah mencuba pelbagai hobi tetapi tidak kekal sehinggalah saya menjengah taman akuaponik milik seorang kenalan dalam Facebook.

“Saya banyak bertanya mengenai akuaponik termasuklah singgah di kediamannya untuk melihat lebih dekat kaedah pertanian itu dua tahun lalu.

“Hasrat untuk berkebun sudah lama, cuma tidak jumpa kaedah sesuai.

“Tambahan pula tinggal di kawasan perumahan di ibu kota yang tidak punya kawasan tanah lapang semestinya bertani sukar dilaksanakan.

“Apabila mengetahui mengenai akuaponik, saya terus mencuba dan tidak sangka selepas tiga bulan dapat lihat hasilnya.

“Bertambah seronok bukan saja dapat menanam pelbagai jenis sayur mahupun buah, saya juga menternak ikan menerusi projek terbabit,” katanya.

GEMBIRA menuai hasil.
GEMBIRA menuai hasil.

Menurutnya, hobi itu turut mendapat sokongan isteri, Mar Ati Sholihah Ahmad Nurihi apabila bertindak menyemai benih dan memberi ikan makan.

“Kalau saya bertugas ke luar daerah, isteri membantu menyemaikan biji benih dan anak-anak pula memberi makanan kepada ikan.

“Selain memberi hasil iaitu sayur dan ikan organik sebagai sumber makanan kepada seisi keluarga, ia menjadi ruang kegemaran buat kami meluangkan masa ketika lapang,” katanya.

Abang Karim, Muhammad Tahir juga mengusahakan projek cili fertigasi dalam membantu memberi pendapatan sampingan.

 MAR ATI gembira memetik hasil tanaman daripada projek akuaponik di kediamannya.
MAR ATI gembira memetik hasil tanaman daripada projek akuaponik di kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 11:33 AM