ABDUL Salam bersama teknologi akuaponik miliknya. FOTO Abdul Salam Khamsah
ABDUL Salam bersama teknologi akuaponik miliknya. FOTO Abdul Salam Khamsah
Hafiz Ithnin

BERMULA sekadar menjadikan terapi kepada anak sulungnya, Airyll Syafee Isyraf lima tahun lalu untuk pulih daripada masalah rabun, tanpa disangka kini aktiviti berkebun secara 'kecil-kecilan' yang diusahakannya mampu menjadi rujukan ramai khususnya peminat akuaponik.

Akuaponik adalah antara teknologi di dalam pertanian yang menggabungkan sistem tanaman dan akuakultur.

Abdul Salam Khamsah berkata, bermula sekadar aktiviti bagi mengelakkan anaknya terikat dengan telefon bimbit, dia tidak menyangka semua itu menjadi titik permulaan untuk serius melakukan kajian mengenai akuaponik.

Hampir satu setengah tahun bapa kepada empat cahaya mata itu melakukan kajian sendiri dengan menelaah laman web dan bertanya individu berpengalaman bagi membina konsep pertanian yang mesra kediaman, akuaponik.

"Pada awalnya memang sukar untuk memiliki sebuah ekosistem akuaponik di kediaman sendiri seperti hari ini memandangkan saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian.

"Namun, disebabkan minat mendalam dalam tempoh satu setengah tahun bermula 2016, sedikit demi sedikit percubaan dilakukan bagi memastikan ekosistem akuaponik berada pada tahap memuaskan iaitu mempunyai sistem baik untuk tanaman dan pada masa sama hidupan akuakultur tidak terjejas, katanya yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat.

SAYUR hidup segar dalam pondok tanaman. FOTO Abdul Salam Khamsah
SAYUR hidup segar dalam pondok tanaman. FOTO Abdul Salam Khamsah

Melihat foto yang dimuat naik di Facebook miliknya, rata-rata peminat aktiviti pertanian mengutuskan pelbagai komen positif dan pertanyaan mengenai aktiviti akuaponik di kediamannya di Klang, Selangor.

Sehinggakan Abdul Salam turut mendapat permintaan mengadakan kelas mengenai teknologi pertanian itu kepada orang ramai.

Bercerita mengenai akuaponik miliknya, Abdul Salam ketika ini mempunyai dua set platform sistem akuaponik konsep kombinasi yang mampu memuatkan 24 pasu untuk tanaman jenis berbuah dan 14 jenis berdaun serta satu set platform sistem akuaponik teknik aliran air nipis (NFT) ke akar tanaman untuk 84 tanaman jenis berdaun.

Jelasnya, tiga tangki air yang menternak pelbagai jenis hidupan air seperti ikan dan udang akan membantu tanaman mendapatkan air serta baja organik.

"Air di dalam tangki itu akan disedut menggunakan sistem automatik dan memiliki penapis bagi membolehkan siraman serta menyalurkan baja organik daripada najis ikan terus kepada tanaman.

"Saya tidak meletakkan tanaman di atas tangki seperti sesetengah orang kerana berpendapat ia tidak mempunyai nilai estetika dekorasi yang menarik memandangkan aktiviti ini turut menjadi terapi kepada keluarga, katanya.

Antara sayur-sayuran yang ditanam Abdul Salam di dalam pondok tanaman ialah sawi, salad, bayam, bendi, timun, terung, limau purut, bayam merah, bayam brazil, tomato dan pudina.

Hidupan akuakultur terdiri daripada ikan talapia merah, talapia hitam, keli, baung, udang galah, patin jelawat dan paling menarik perhatian ialah ikan sungai bernilai tinggi, kelah.

Anak kelahiran Melaka itu berkata, penjagaan akuaponik tak begitu sukar jika sudah mempunyai sistem pengaliran yang baik dan tidak menelan belanja tinggi bagi kos operasi walaupun menggunakan tenaga elektrik.

PELBGAI jenis hasil tanaman segar dinikmati keluarga. FOTO Abdul Salam Khamsah
PELBGAI jenis hasil tanaman segar dinikmati keluarga. FOTO Abdul Salam Khamsah

"Secara jujurnya saya tidak menggunakan khidmat individu profesional untuk membangunkan sistem akuaponik dan bermula dari kosong, segalanya diusahakan sendiri dengan belanja permulaan sekitar RM3,000.

"Namun, walaupun kos permulaan itu nampak agak besar, untuk jangka masa yang panjang ia amat jimat kerana saya tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk kos operasi.

Dari segi tanaman saya hanya beli benih baharu atau daripada tanaman sebelumnya saya dapatkan biji benih. Jadi kos operasi jangka masa lama agak berbaloi, katanya.

Menjelaskan mengenai hidupan akuakultur miliknya, dia berkata, kualiti air paling penting untuk dijaga bagi memastikan spesies hidupan

'diternak' mampu hidup dengan baik.

"Pada awalnya memang kita perlu tahu mengimbangkan tahap keasidan dan kealkalian (pH), tetapi lama-kelamaan ia dapat diuruskan dengan mudah kerana pertamanya, perlu ada ilmu serta kedua, peka dengan situasi habitat hidupan air itu sendiri, katanya.

Meskipun mempunyai sistem akuaponik yang baik, beliau tidak menjual hasil tanamannya kepada orang ramai, bahkan

'memberi rasa' kepada jiran sekeliling.

Memandangkan, aktiviti pertanian itu menarik untuk dikembangkan dan berkongsi pengalaman kepada orang ramai, dia berhasrat memiliki projek komersial mini akuaponik di Klang bersama isterinya, Irdawaty Ahmad Badar.

"Akuaponik sememangnya menyeronokkan kerana kita bukan saja dapat makanan tidak tercemar malah menjadikannya satu aktivit keluarga yang sihat, katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 6:30 AM