HANI tampilkan penggunaan warna merah jambu lembut untuk ruang bilik tidur kanak-kanak perempuan.
HANI tampilkan penggunaan warna merah jambu lembut untuk ruang bilik tidur kanak-kanak perempuan.
Nurul Husna Mahmud


'TROMPEL'OEIL' iaitu perkataan Perancis yang bermakna 'memperbodohkan mata' adalah gambaran mengenai mural dihasilkan seniman Eropah era 80-an seperti Graham Rust atau Rainer Maria Latzke.

Seni mural menjadi naskhah unggul menghiasi dinding bangunan swasta atau awam di Eropah yang mana hasilnya tampak semakin realistik.

Terkini pelbagai elemen termasuklah tekapan atau tampalan membuatkan hiasan dinding semakin berkembang, teknik lukisan menggunakan sentuhan pelukis masih menarik minat pemilik bangunan termasuklah jenis kediaman.

Hal itu dikongsikan pelukis mural, Siti Nor Hanidah Mustakim, 37, yang banyak melakukan kerja-kerja melukis mural di kediaman peminat seni itu.

Kata Siti Nor Hanidah, dia melakukan kerja-kerja menata hias dinding dengan lukisan mural sejak 2018 sebagai hobi dan minat mendalam.

Dia yang mesra disapa Hani, tidak menyangka hasil kerja dikongsi menarik perhatian bermula dengan keluarga sendiri sehinggalah kepada orang luar.

"Saya mula melakukan kerja melukis mural selepas pandemik Covid-19 iaitu pada tahun 2021 di rumah adik ipar. Ketika itu adik ipar ingin ubah suai bilik dua anaknya iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Pemilihan untuk bilik anak lelakinya, saya guna konsep bandar dan kereta serta tema warna biru putih.

"Sementara anak perempuan pula, warna merah jambu, visual burung dan pokok bunga merah seperti kelopak sakura disesuaikan dengan ciri-ciri feminin.

"Saya tidak hanya melukis sebaliknya ada buat tampalan bergambar untuk wujudkan elemen 'timbul.' Ini membuatkan hasil karya mural pada dinding lebih menonjol," katanya.

Kata Hani lagi, efek tiga dimensi (3D) membuatkan projek itu tampak menarik meskipun lukisan ditampilkan ringkas dan mudah.

"Projek dinding di rumah adik ipar itu tidaklah luas mana dan hanya fokus kepada satu kawasan kecil di dinding.

"Tidak bermakna projek itu mudah dan saya bagi cabaran pada diri dengan tingkatkan dari dua dimensi kepada tiga dimensi supaya ia tampak menyeronokkan.

"Untuk kanak-kanak saya gunakan rona terang dan lembut sesuai dengan imej keanak-anakan yang ceria serta polos supaya mereka selesa dengan ruang tidur itu," katanya.

Meskipun lukisan mural membabitkan perincian pada dinding, namun Hani berkata, dia masih perlu meneliti beberapa aspek termasuk kedudukan perabot dan lampu agar hasil mural itu 'serasi' dengan konsep ruang dilukis.

"Setiap kali mendapat tempahan atau permintaan untuk melukis mural, saya akan kaji dahulu subjek ingin dilukis selain melihat lokasi dinding agar hasilnya nanti lebih memuaskan.

"Kalau bilik ada perabot atau aksesori seperti cermin, jam dinding dan sebagainya. Itu saya akan tanya dahulu kepada pemilik rumah mereka mahu lukisan bagaimana supaya hasilnya nanti juga mengikut imaginasi mereka.

"Saya pernah mendapat tugasan daripada klien yang juga seorang doktor mahu ruang dinding dalam rumah dilukis dengan gambaran seperti di dalam hutan dan lautan.

"Pada saya 'imej' itu berat kerana hutan yang biasanya menggunakan rona warna gelap seperti hijau tua dan perang gelap kayu atau tanah boleh menyebabkan suasana dalam rumah juga gelap.

"Saya tetap zahirkan permintaan tuan rumah berkenaan dan hasilnya memuaskan dirinya yang mahu sentiasa berada dekat dengan alam semula jadi," katanya.

Menyentuh mengenai rujukan setiap kali berkarya kata Hani, pinterest antara sumber membantu mencari idea konsep atau subjek lukisannya.

"Saya belajar dulu subjek ingin dilukis supaya ia tampak 'hidup' dan biasanya lakar dahulu pada telefon dan kemudian saya akan tunjuk kepada klien.

"Pinterest antara sumber rujukan penting dan ia digarap mengikut permintaan pelanggan dan kreativiti saya.

"Lakaran itu kalau klien maklum sudah 'OK' dan sesuai dengan konsep, saya akan mulakan kerja. Biasanya proses melukis mengambil masa sehari hingga dua hari bergantung kepada tahap kesukaran lakaran dan lukisan terbabit," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga suka mencabar diri dalam setiap projek termasuk memberi efek 3D.

"Kalau saya dapat projek menarik seperti menghias bilik kanak-kanak, seperti karakter adiwira Marvel, saya suka buat efek 3D. Bilik tidur kanak-kanak antara projek mural pada saya yang menarik dan memberi kepuasan," katanya.

Hani tidak lupa memaklumkan, untuk melukis mural pada dinding, keadaan dinding itu perlulah dalam keadaan baik.

"Tugas melukis dinding saya lakukan ketika ini berbeza dengan kerja mengecat. Ada tugasan melukis mural saya terpaksa tolak kerana dindingnya tidak berada dalam keadaan memuaskan.

"Saya sarankan klien itu merawat atau mengecat dinding itu terlebih dahulu supaya hasil mural mereka dapat lebih tahan lama dan memuaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 7:01 AM