JULIA melihat dinding bangunan yang akan dilukisnya membabitkan wajah seorang nenek bersama cucu di Flat MBPP Batu Lancang, Georgetown, hari ini. FOTO Danial Saad.
JULIA melihat dinding bangunan yang akan dilukisnya membabitkan wajah seorang nenek bersama cucu di Flat MBPP Batu Lancang, Georgetown, hari ini. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


DINDING perumahan di Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Batu Lancang, Georgetown, bakal diserikan dengan lukisan hasil seni pelukis mural terkenal dari Russia, Julia Volchkova.

Kerja seni anak kelahiran Siberia itu bermula hari ini dan dijangka mengambil masa selama tujuh hari bagi disiapkan.

Julia, 30, berkata, lukisannya adalah inspirasi daripada keluarga pembuat colok di Jalan Perak, yang hidup dalam serba kekurangan.

Katanya, mural terbabit adalah yang kesembilan dilukis Julia di sekitar negeri ini selepas masing-masing empat di Balik Pulau dan Georgetown.

“Ketika mendapat tawaran ini, saya terus terima tanpa sebarang alasan kerana keunikan dan budaya di Pulau Pinang sudah sebati dalam jiwa.

“Lukisan ini adalah mengenai moyang sudah tua bernama Lee Saw Tin, 87, bersama cucunya, Sherlene Oon Zhi Dong berusia dua tahun,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kisah keluarga terbabit pernah disiarkan media pada Jun lalu apabila Loh Bee Lean, 26, mengambil alih tugas menyara keluarga dengan menjual colok selepas suaminya, Oon Yeow Loon, 35, diserang angin ahmar.

Selain Lee, turut tinggal bersama mereka ialah ibu Oon, Chew Phaik Suan, 60, dan anak sulung Oon, Debbie, enam tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata, Julia dipilih berdasarkan popularitinya di laman sosial di peringkat antarabangsa.

Katanya, dia mengalu-alukan tajaan peralatan dan kelengkapan seperti ‘skylift’ bagi memudahkan Julia melukis pada dinding di bahagian atas.

“Lokasi berkenaan sentiasa dikunjungi berikutan terletak bersebelahan dengan Pasar Batu Lancang dan diharap ia akan menjadi satu tarikan orang ramai.

“Selepas ini kami merancang mahu melukis mural di Jalan Van Praagh pula diikuti dengan lain tempat yang sesuai,” katanya.

Orang ramai yang mahu menaja bagi projek berkenaan boleh menghubungi Julia menerusi emel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 10:50 PM