Lukisan tiga daripada enam ikon bola sepak, M Kuppan selain Faiz Subri dan Datuk Namat Abdullah yang dilukis di dinding Stadium Bandaraya, Persiaran Bandaraya. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Lukisan tiga daripada enam ikon bola sepak, M Kuppan selain Faiz Subri dan Datuk Namat Abdullah yang dilukis di dinding Stadium Bandaraya, Persiaran Bandaraya. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Potret enam ikon bola sepak tersohor kini diabadikan di dinding Stadium Bandaraya, Persiaran Stadium, di sini, sekaligus bakal menjadi tarikan baharu.

Mural dihasilkan anak kelahiran Butterworth, Mohd Azmi Mohd Hussain, 36, itu memaparkan lukisan wajah Ali Bakar, Datuk Namat Abdullah, M Kuppan, Pang Siang Hock, Shukor Salleh dan Mohd Faiz Subri.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia mula melukis mural berkenaan sejak Isnin lalu bermula jam 7.30 pagi hingga 8 malam dan dijangka siap esok.

Katanya, ilham bagi mengabadikan potret enam ikon bola sepak itu tercetus selepas membaca berita mengenai lukisan dinding dihasilkan di beberapa negara, bagi memperingati lagenda bola sepak dunia, mendiang Diego Maradona.

"Kita juga mempunyai jaguh sukan yang hebat dan wajar mereka diberi penghormatan dan penghargaan menerusi lukisan dinding.

"Cadangan saya kemudian disokong oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) (Yew Tung Seang) dan kerajaan negeri turut memberi peruntukan sebanyak RM5,000 bagi tugasan ini," katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut Mohd Azmi berkata, dia menggunakan cat kalis air dan cuaca dengan menggunakan teknik lukisan 'vector potrait'.

Dia yang aktif melukis sejak 10 tahun lalu berkata, orang ramai yang melalui kawasan itu turut memberi maklum balas positif mengenai mural berkenaan.

"Ada yang mengajak saya bergambar malah ada yang setiap hari datang memberi makanan dan ia membuatkan saya berasa terharu dengan sokongan mereka.

"Selepas ini saya merancang mahu melukis ikon sukan lain pula di dinding berkenaan," katanya yang bekerja sebagai artis dan kartunis sambilan.

Antara kenangan tidak dilupakan ialah kunjungan keluarga Allahyarham Datuk Namat baru-baru ini.

"Mereka mengucapkan terima kasih dan dapat melepaskan rindu berikutan baru kehilangan bintang lagenda itu pada 17 Disember lalu.

"Besar harapan saya jika Mohd Faiz dapat hadir selain menurunkan tanda tangannya di potretnya di situ," katanya.

Sementara itu Mohd Faiz yang juga pemenang Anugerah Puskas 2016 berkata, dia berbesar hati kerana Mohd Azmi sudi melukis potretnya sebaris dengan bintang lagenda.

"Walaupun saya bukan anak kelahiran Pulau Pinang tetapi gembira kerana pencapaian saya dihargai dan bercadang mahu ke lokasi itu pada Isnin depan," katanya ketika dihubungi.

Keterangan gambar:

GEORGETOWN 24 DISEMBER 2020.Pelukis mural, Mohd Azmi Mohd Hussain, 36. NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI

GEORGETOWN 24 DISEMBER 2020. Mohd Azmi Mohd Hussain, 36, ketika menyiapkan lukisan tiga daripada enam ikon bola sepak, M Kuppan selain Mohd Faiz Subri dan Datuk Namat Abdullah di dinding Stadium Bandaraya, Persiaran Bandaraya, di sini. NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI

GEORGETOWN 24 DISEMBER 2020. Mohd Azmi Mohd Hussain, 36, di hadapan lukisan tiga daripada enam ikon bola sepak, M Kuppan selain Mohd Faiz Subri dan Datuk Namat Abdullah yang dilukis di dinding Stadium Bandaraya, Persiaran Bandaraya, di sini. NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI

GEORGETOWN 24 DISEMBER 2020. Lukisan tiga daripada enam ikon bola sepak, M Kuppan selain Mohd Faiz Subri dan Datuk Namat Abdullah yang dilukis di dinding Stadium Bandaraya, Persiaran Bandaraya, di sini. NSTP/ ZUHAINY ZULKIFFLI

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 4:49 PM