RUANG tamu yang ringkas.
RUANG tamu yang ringkas.
Muhamaad Razis Ismail

"Warna hitam nampak lebih ringkas, mewah dan mempunyai nilai eksklusif tersendiri," kata Abdul Ghafur Nasir, 33.

Rumah teres dua tingkat berwarna hitam yang terletak di Iskandar Puteri, Johor itu baharu diduduki Abdul Ghafur dan keluarganya mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial

Melihat di Facebook, kediaman pemilik butik pakaian ini dilihat lebih menonjol biarpun diapit dua rumah berwarna cerah sekali gus menarik perhatian penulis untuk terus menghubungi pemiliknya bagi mengetahui lebih terperinci.

Tidak hanya di luar, di dalam rumah termasuk dinding, perabot dan peralatan elektrik turut menggunakan warna hitam.

Beliau turut menggunakan warna kelabu gelap dan putih untuk menyeimbangkan warna hitam di dalam rumahnya.

KEDIAMAN teres dua tingkat tampak mewah  dengan gandingan kelabu gelap dan putih sebagai keseimbangan.
KEDIAMAN teres dua tingkat tampak mewah dengan gandingan kelabu gelap dan putih sebagai keseimbangan.

Tanpa menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman, beliau bijak menggunakan tiga warna ini di setiap sudut rumah dengan bantuan pencahayaan yang betul.

Abdul Ghafur berkata, pada asalnya, kediamannya itu berwarna putih seperti rumah tipikal yang baharu siap dibina.

"Pada pandangan saya, warna hitam ini sangat menarik kerana ia nampak segar, susah kotor dan tidak mudah kusam.

"Menerusi penggunaan lampu kuning, ia menampakkan sesuatu ruang nampak lebih mewah dan eksklusif," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PENGGUNAAN panel dinding berwarna kelabu di ruang makan.
PENGGUNAAN panel dinding berwarna kelabu di ruang makan.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan mengecat rumahnya dengan warna hitam, beliau banyak membuat kajian termasuk melihat sendiri rumah yang menggunakan warna sama.

"Saya juga banyak buat rujukan di Internet dan buat lakaran sendiri sebelum minta rakan buat ilustrasi dengan komputer untuk melihat kesesuaian bahagian di dalam rumah.

"Sebagai permulaan, saya cuba eksperimen warna ini di butik dan ia nampak menarik," katanya.

Jelasnya, menggunakan hitam sebagai warna utama di kediaman mempunyai cabaran tersendiri kerana ia jarang digunakan di negara ini.

PINTU gelangsar kaca membahagikan dapur dengan ruang makan.
PINTU gelangsar kaca membahagikan dapur dengan ruang makan.

"Kebanyakan perabot termasuk kabinet dapur dan almari saya tempah untuk dapatkan warna yang saya kehendaki.

"Bukan itu sahaja, untuk dapatkan peralatan seperti suis dan kepala paip berwarna hitam tidak mudah dan saya perlu membuat carian di banyak kedai untuk dapatkan harga yang berpatutan," katanya.

Dengan mengetengahkan konsep minimalis dan industri, Abdul Ghafur mahu kediamannya kelihatan lebih ringkas dan tersusun serta tidak memerlukan perabot dan perincian yang banyak.

"Saya tidak suka nampak terlalu berlebihan terutama di bahagian dinding dan tidak mahu lihat ruang dipenuhi banyak barang. Sebagai contoh di ruang tamu hanya ada sofa, televisyen dan kabinet.

BILIK dobi yang mendapat perhatian ramai.
BILIK dobi yang mendapat perhatian ramai.

"Pada saya pencahayaan dan warna sudah mencukupi untuk menaikkan 'seri' di dalam rumah.

"Ciri-ciri industri pada dinding dapur menonjol apabila menampilkan tekstur batu-bata yang timbul. Bukan itu sahaja penggunaan banyak besi lurus tidak berkerawang menyerlahkan lagi konsep industri," katanya.

Ditanya pandangan orang ramai bahawa warna hitam akan memanaskan kediaman, Abdul Ghafur berpandangan sebaliknya.

"Sepanjang tinggal di sini, saya tidak rasakan seperti itu. Saya hanya perlu buka pendingin hawa selama dua jam, rumah akan terasa sejuk.

KEMASAN jubin di dinding tandas.
KEMASAN jubin di dinding tandas.

"Selain itu, pemilihan cat yang mempunyai kualiti yang bagus supaya tidak mudah calar," katanya.

Katanya, antara bahagian yang mendapat perhatian ramai adalah dapur yang hampir 90 peratus berwarna hitam termasuk kabinet, peralatan elektrik dan singki.

"Kabinet dapur berwarna hitam ini saya tempah khas daripada tukang perabot kerana nampak kemas dan bersih.

"Bahagian lantai saya gunakan jubin warna putih dengan corak berwarna hitam supaya nampak klasik dan di dinding, ramai ingatkan saya gunakan kertas dinding, sedangkan saya gunakan jubin berwarna putih untuk seimbangkan dengan warna kabinet,

"Saya juga menggunakan pintu gelangsar kaca yang ditempah khas untuk membahagikan dapur dan ruang makan" katanya.

Beliau mengakui pada mulanya isterinya, Siti Farah Wagiman, 33, agak keberatan menerima cadangan untuk menggunakan hitam sebagai warna utama.

"Selepas saya cat butik dengan warna hitam serta tunjukkan contoh rumah sama, isteri dapat menerimanya.

"Apabila rumah sudah siap diubah suai, dia paling teruja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:16 AM