SEPERTI tidak percaya bilik tidur moden ini terletak di rumah flat.
SEPERTI tidak percaya bilik tidur moden ini terletak di rumah flat.
Helmy Abd Rahman


ULAT beluncas bagi kebanyakan orang, bukan saja hodoh, malah sering dielak kerana gatal jika terkena kulit.

Namun, selepas melalui proses metamorfosis dan berubah menjadi rama-rama, ramai pula yang kagum dengan kecantikan serangga itu.

Sama seperti rumah milik pasangan ini yang berjaya ditransformasikan daripada rumah flat yang kelihatan membosankan, menjadi kediaman yang kemas, elegan dan moden.

Bagi Syukriyah Jusoh, 28, dan suaminya, Mohammad Taufiq Md Rani, 27, pokok pangkal bergantung kepada pemilik atau penghuni rumah itu sendiri.

Jika kreatif dan mempunyai cita rasa yang baik, rumah flat juga mampu ditransformasikan untuk kelihatan menarik.

Bijak mengatur susunan dekorasi dan menggunakan warna serta konsep bersesuaian, pasangan berasal dari Terengganu ini berjaya mencipta kediaman impian di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam, Selangor itu.

KREATIF dan daya imaginasi tinggi menggunakan konsep geometri membuatkan ruang tamu yang suram kelihatan ceria.
KREATIF dan daya imaginasi tinggi menggunakan konsep geometri membuatkan ruang tamu yang suram kelihatan ceria.

Syukriyah berkata, dia menggunakan konsep geometri untuk hiasan dinding dan banyak mengenakan cat berwarna cerah iaitu putih serta kelabu pada rumahnya itu.

“Kami cat sendiri menggunakan ‘masking tape’ untuk dapat kesan yang diingini.

“Saya pilih konsep geometri dengan pemilihan warna putih yang banyak.

“Sebabnya, saya mahukan kesan pandangan mata supaya kediaman kami nampak luas, kerana rumah ini kecil saja, cuma 590 kaki persegi (55 meter persegi) dengan dua bilik tidur dan satu kamar mandi.

“Malah saya juga memilih dinding warna putih dan pastel kelabu manakala perabot pula kebanyakannya warna putih.

SEAKAN-AKAN kamar mandi di hotel selepas pengubahsuaian.
SEAKAN-AKAN kamar mandi di hotel selepas pengubahsuaian.

“Bahagian dapur dan tandas pula kami gunakan kertas dinding,” katanya kepada Dekotaman.

Menurutnya, dia dan suami tidak mempunyai asas dalam seni hiasan dalaman, namun banyak membuat rujukan di Internet.

“Saya banyak tengok video di YouTube dan gambar di Pinterest sebagai rujukan.

“Selain itu, saya banyak membaca dan merujuk hiasan dalam majalah,” katanya yang belum mempunyai cahaya mata.

Ditanya mengenai kos keseluruhan bagi proses transformasi itu, Syukriyah berkata, ia hampir mencecah RM20,000.

“Jumlah itu bukanlah untuk hiasan saja tetapi termasuk kos renovasi. Suami beli rumah ini pada 2017 iaitu sebelum kami berkahwin tetapi dia sewakan dulu.

“Lepas tiga bulan berkahwin, baru kami tinggal di sini. Proses pengubahsuaian dan hiasan dalaman pula siap dalam dua minggu iaitu pada Mei lalu,” katanya.

SYUKRIYAH dan suaminya, Taufiq.
SYUKRIYAH dan suaminya, Taufiq.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:30 AM