Helmy Abd Rahman


“LECEH betul nak masuk sini,” rungut penulis sebaik melangkahkan kaki dalam lif untuk ke sebuah unit kondominium di Bukit Segambut, di ibu kota. Mana tidaknya, aspek keselamatan amat dijaga rapi dengan dua kali pemeriksaan sebelum dibenarkan menaiki lif menuju unit terbabit.

Bagaimanapun, perasaan kemudian bertukar 180 darjah sebaik menjejak kediaman milik Xavier Mah, terasa kagum dengan cita rasa lelaki bujang ini memilih konsep hiasan dalaman.

“Saya tak suka dengan kediaman yang ‘disumbat’ dengan pelbagai kelengkapan rumah sehingga menyesakkan mata untuk menyerlahkan kemewahan dan penggunaan warna emas.

“Sebab itu saya pilih konsep minimalis dalam hiasan dalaman dan menggunakan tata cara susun atur KonMari atau ‘KonMari Method’ iaitu mengumpul semua barangan dimiliki dan asingkan mengikut kategori,” jelas jejaka berusia awal 30-an yang turut menggunakan khidmat pakar hiasan dalaman MLA Design itu.

Minimalis bukan baru dalam dunia hiasan dalaman dan seni bina, malah ia mempunyai kelebihan tersendiri yang menaikkan ciri asal kediaman menggunakan konsep berkenaan.

Gaya minimalis adalah reka bentuk menampilkan ciri-ciri keseriusan dan ringkas dalam hiasan. Biasanya ia dilengkapi perabot pelbagai fungsi dan objek hiasan berbentuk geometri yang kompak, hitam atau kelabu.

Konsep sebegini juga selalunya tidak menggunakan gabungan lebih daripada dua warna asas. Hiasan minimalis amat mementingkan pembahagian ruang yang sempurna.

DEKO rumah milik Xavier. FOTO: Aziah Azmee
DEKO rumah milik Xavier. FOTO: Aziah Azmee

“Unit ini berkeluasan 1,800 kaki persegi (167.2 meter persegi) dengan 3 + 1 bilik. Sebenarnya saya bukan sahaja gunakan konsep ‘duality’ atau berpasangan untuk hiasan dalaman di rumah ini sebab itu nampak rekaan kayu warna putih, ringkas dan tidak keterlaluan.

“Saya tak suka sangat dengan konsep seperti kebanyakan rumah di Malaysia kerana berasakan ia berserabut dan memberi tekanan. Dekorasi rumah ini saya pastikan dapat menyerlahkan ruang dalamannya.

“Saya juga gunakan banyak cermin untuk menampakkan ruang lebih luas di ruang tamu dan bilik. Bilik air pula saya guna kaca lut sinar dan di bilik tidur ada terletak lampu sorok bagi mendapatkan efek pencahayaan yang menenangkan.

“Malah, saya juga guna perabot ‘terapung’ di bilik tidur dengan cahaya lampu tersorok. Televisyen pula pastilah jenis LCD mudah digantung pada dinding yang dapat menjimatkan ruang.

“Bahagian dapur pula saya pastikan seringkas yang boleh, nanti senang nak masak. Ini juga membolehkan saya meletak peralatan yang perlu contohnya mesin pembuat kopi dan mesin cuci.

“Semua perabot pula disediakan pemaju termasuk almari kasut di halaman rumah. Beranda amat penting untuk saya kerana ia tempat menikmati kopi dan membuat ‘karangan’ berkaitan kerja pada sebelah pagi.

RUANG dapur bersih dan ringkas.
RUANG dapur bersih dan ringkas.

“Konsep minimalis tidak semestinya terlalu mudah dan ringkas, tetapi pada masa sama kita perlu bijak menyusun atur atau memilih hiasan supaya tidak lari daripada konsep serta menyesakkan pemandangan.

“Contohnya objek pasangan burung hitam, putih dan lilin di meja makan yang pada saya menyerlahkan seri di unit kondominium ini. Saya juga meletakkan hiasan tumbuhan tiruan untuk melengkapkan hiasan,” kata Xavier yang mempunyai firma perunding perhubungan awam.

Secara keseluruhannya, Xavier menjelaskan, walaupun membelanjakan jumlah agak besar iaitu RM100,000 untuk hiasan dalaman, baginya ia amat berbaloi kerana sangat memuaskan hati.

“Lebih penting memberi inspirasi untuk saya menghasilkan kerja berkualiti bagi syarikat saya,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:40 AM
KONSEP hiasan tidak guna gabungan lebih daripada dua warna asas.
KONSEP hiasan tidak guna gabungan lebih daripada dua warna asas.