LANGKAH kukuh kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit.
LANGKAH kukuh kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit.

HALAL Development Corporation Bhd (HDC) menyokong cadangan untuk menggabungkan pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bersama keperluan pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit negara.

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, dengan memasukkan pensijilan MSPO dalam proses pensijilan halal, Malaysia boleh menunjukkan komitmennya terhadap prinsip-prinsip Islam dan penggunaan yang beretika.

Langkah itu juga akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang mampan sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk halal merentas pelbagai pasaran.

Khairul Azwan menambah negara-negara seperti India, China, Jepun, Korea Selatan dan pelbagai negara Eropah seperti Belanda semakin mencari minyak sawit yang diperakui halal untuk pelbagai jenis produk, termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal.

"Sinergi antara pensijilan Halal dan MSPO mewakili peluang penting untuk industri minyak sawit. Kami percaya bahawa dengan menggalakkan amalan mampan dalam pengeluaran minyak sawit, Malaysia boleh meningkatkan lagi kedudukannya sebagai pembekal utama produk halal di seluruh dunia.

"Dalam usaha mempromosikan perdagangan kami di luar negara, kami menyaksikan permintaan yang besar untuk produk-produk sampingan minyak sawit yang diperakui halal, jadi kami menjangkakan perdagangan produk sampingan dan derivatif minyak sawit halal akan berkembang dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memasukkan pensijilan MSPO bersama pensijilan halal sebagai keperluan untuk pemasaran minyak sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 7:19 AM