ZAKARIA
ZAKARIA
HM Digital

Kuala Lumpur: Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) akan mengesahkan pensijilan semua 70 kompleks kilang dengan keperluan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad berkata, pihaknya juga berbesar hati mengumumkan FGV sudah menerima Pensijilan Prinsip dan Kriteria (P&C) RSPO untuk lapan kompleks kilangnya pada akhir 2017 selepas menarik diri secara sukarela daripada pensijilan RSPO terbabit pada Mei 2016.

Beliau berkata, setakat ini, lapan kompleks kilang yang sudah diperakui dijangka menghasilkan lebih 200,000 tan metrik (MT) Minyak Sawit Lestari Diperakui (CSPO) dan hampir 60,000 MT Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK).

“Selain daripada manfaat premium yang ditawarkan, FGV berpeluang menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Utara serta pelanggan yang mahu produk minyak sawit yang diperakui.

“Ini adalah permulaan yang baik bagi 2018, terima kasih kepada petugas FGV yang komited dan turut serta dalam program transformasi kelestarian yang dimulakan sejak Mei 2016,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Meskipun kekal sebagai ahli RSPO, pada Mei 2016 FGV menarik diri secara sukarela semua pensijilan P&C RSPO kompleks kilangnya dan mengakui terdapatnya isu buruh dan sosial sepanjang rantaian bekalan yang perlu ditangani.

Zakaria berkata, pihaknya merasakan amat penting untuk menangani kawasan yang terdapat kebimbangan utama.

“Untuk tahun ini, kami menyasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan kompleks kilang menjelang Mac dan lebih daripada 30 kompleks kilang yang akan diaudit oleh RSPO dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir Disember.

“Salah satu daripada strategi utama kami adalah pengenalan kepada Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang digunakan di seluruh operasi, anak syarikat dan kontraktor kami untuk menangani jurang dan mewujudkan rantaian bekalan yang lebih inklusif,” katanya.

Menurutnya, GSP memberi penekanan yang lebih besar untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan dalam cara yang lestari dan inklusif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:39 AM