FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Plus Malaysia Bhd (PLUS) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersetuju untuk memudahcara proses membangunkan stesen pengecas di sepanjang lebuh raya PLUS bagi menambah bilangan stesen tersebut, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Justeru itu, kata MITI, PLUS dan LLM akan mengenal pasti lokasi strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di sepanjang lebuh raya PLUS bagi pemasangan stesen pengecas.

"Selain itu, kerajaan meminta agar pembekalan kuasa elektrik di lokasi pembangunan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang diluluskan di R&R adalah sentiasa mencukupi dan pembangunan pencawang baharu disegerakan di lokasi yang diperlukan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa EV Kebangsaan (NEVSC) yang kali pertama diadakan bagi 2024.

Menurut MITI, Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga memaklumkan bahawa syarikat tersebut sedang meneliti kaedah penyumberan bekalan tenaga dan penggunaan tenaga mengikut waktu untuk menggalakkan aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh baharu.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa selain aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh baharu, kerajaan juga menyambut baik cadangan untuk menggalakkan model perniagaan baharu bagi mengoptimumkan pengecasan EV pada waktu penggunaan grid yang rendah.

Menurut MITI, Northport (Malaysia) Bhd juga membangkitkan isu berkaitan risiko keselamatan pengecasan EV semasa pengendalian dalam aspek logistik dan sehubungan itu mesyuarat tersebut bersetuju supaya garis panduan amalan baik berkenaan tatacara pengendalian pengecasan EV semasa urusan logistik disediakan dalam tempoh enam bulan sebagai rujukan kepada industri.

Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut membincangkan isu berkaitan usaha menambah baik prosedur dan pelesenan stesen pengecas EV.

Fadillah berkata kerajaan mengambil maklum akan cabaran semasa yang dihadapi oleh pihak penyedia perkhidmatan pengecas EV.

"Saya telah mengarahkan agensi kerajaan yang terlibat untuk menyelaras dan memudahcara peraturan-peraturan berkaitan termasuk yang berkaitan dengan hal pelesenan.

"Ini adalah bagi memastikan pembangunan dan pengoperasian stesen pengecas EV di seluruh negara berjalan dengan lancar dan membantu menyokong pembangunan ekosistem EV secara holistik, tanpa menjejaskan aspek keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 4:29 PM