Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin berkenan mengecas kenderaan elektrik di Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik Tesla di Gamuda Cove, Selangor yang juga stesen pengecas terbesar di Asia tenggara.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin berkenan mengecas kenderaan elektrik di Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik Tesla di Gamuda Cove, Selangor yang juga stesen pengecas terbesar di Asia tenggara.
BERNAMA

DENGKIL, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) beroperasi di negara ini pada 2025, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sebarang semakan terhadap sasaran itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Semasa saya berbincang dengan mereka (pihak industri), mereka masih yakin (dengan sasaran itu)...angka itu terlalu agresif bagi saya, namun, mereka masih boleh mencapainya kerana beberapa bulan lepas (stesen pengecas EV) adalah 1,400 dan bulan lepas jumlah itu sudah melebihi 2,000.

"Mereka berusaha dengan cukup pantas tetapi kita akan lihat kerana mesyuarat jawatankuasa EV akan membincangkan sama ada kita perlu mengekalkan atau tidak sasaran itu. Pihak industri dilihat optimistik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Stesen Pengecas Terbesar Tesla di Asia Tenggara di sini, pada Rabu.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata pada masa ini sebanyak 2,020 stesen pengecas EV beroperasi di seluruh negara.

Tengku Zafrul berkata kerajaan menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif kepada peserta industri EV bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

"Dasar yang kita ada sekarang ini bertujuan mempercepat kelulusan, itu satu kerjasama dengan kementerian dan agensi lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Bhd, Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya," katanya.

Mengenai Tesla, beliau berkata kerajaan mengucapkan tahniah atas pembukaan stesen supercharging terbesar Asia Tenggara di Gamuda Cove, di sini, yang menawarkan enam Pengecas Super dan 18 Pengecas Destinasi.

"Tesla menawarkan dua perkara, mereka mewujudkan stesen pengecasan serta menjual kereta. Jadi, syarikat ini membina ekosistem keseluruhan," katanya.

Beliau berkata usaha Tesla menerusi cara yang betul itu dapat mengurangkan kebimbangan pengguna EV mengenai pengecasan kereta mereka.

Kerajaan komited memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pengecas paling pantas yang telah dibangunkan di Malaysia dibuka untuk kegunaan awam iaitu untuk kenderaan selain daripada jenama Tesla, katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Tengku Zafrul kerajaan mengalu-alukan jejak pertumbuhan pesat Tesla di Malaysia, yang memperkenalkan Model Y dan Model 3 yang dinanti-nantikan kepada pasaran Malaysia sejak Julai tahun lepas selain melancarkan Pengecas Super pertama negara, dan menubuhkan Pusat Pengalaman Tesla dan ibu pejabat Malaysia di Cyberjaya.

"Dedikasi Tesla untuk menyokong penggunaan EV di Malaysia dibuktikan lagi dengan kerjasamanya dengan pemasang tempatan telah menawarkan lebih 1,300 pemasangan pengecasan rumah.

"Tesla juga telah meningkatkan rangkaian pengecasan EV kita dengan ketara, menerusi inisiatif mewujudkan 36 Pengecas Super dan 55 Pengecas Destinasi di seluruh Malaysia," katanya.

Beliau berkata sebanyak 14 Pengecas Super dan 26 Pengecas Destinasi ditempatkan di Selangor, menunjukkan komitmen mereka untuk memajukan infrastruktur EV Malaysia.

Tengku Zafrul berkata Tesla merancang untuk mengembangkan rangkaian pengecasan dengan menambah kemudahan baharu di lokasi utama seperti Kuantan (Pahang), Pulau Pinang, Putrajaya dan Kuala Lumpur pada suku kedua tahun ini.

"Kerajaan mengalu-alukan perkembangan ini dan menghargai sumbangan Tesla yang turut membangunkan stesen pengecasan untuk jenama bukan Tesla," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 4:42 PM