PETALING JAYA 19 OKTOBER 2023. Logo terbaharu CelcomDigi. STR/ AZIAH AZMEE
PETALING JAYA 19 OKTOBER 2023. Logo terbaharu CelcomDigi. STR/ AZIAH AZMEE
BERNAMA

Petaling Jaya: CelcomDigi Bhd menjangkakan proses integrasi syarikat antara rangkaian Celcom dan Digi akan mencapai 30 peratus menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi.

Idham berkata, keseluruhan integrasi rangkaian itu kini sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh 24 hingga 30 bulan akan datang dengan menggabungkan 12,000 tapak masing-masing daripada Celcom dan Digi menjadi satu rangkaian terbesar sebanyak 18,000 tapak.

"Sebanyak 30 peratus akan dilakukan tahun ini, manakala 40 peratus tahun depan dan baki 30 peratus pada tahun ketiga, dan ia dilihat berjalan dengan baik.

"Sudah tentu, terdapat pelaksanaan integrasi lain yang berlaku dalam persekitaran platform teknologi maklumat (IT) dan sebagainya. Begitu juga, ia akan mengambil masa antara 20 hingga 24 bulan untuk sistem mula beroperasi," katanya kepada media pada majlis pelancaran livery jenama korporat baharu CelcomDigi, semalam.

Pada April 2023, syarikat itu memulakan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan menyepadukan dan memodenkan rangkaian 4G terluas dan terpantas di Malaysia dengan teknologi evolusi jangka panjang (LTE) dan 5G terkini.

CelcomDigi, semalam, memperkenalkan logo korporat baharunya, satu manifestasi aspirasi syarikat untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai oleh pelanggannya dan negara dalam inovasi dan pendigitalan.

Idham berkata, sejak penggabungan CelcomDigi selesai pada Disember 2022, kumpulan itu secara progresif memperkenalkan perkhidmatan, penyelesaian dan inovasi baharu.

"Memandangkan CelcomDigi mahu terus memanfaatkan potensi kami dari segi skala, pengalaman, sumber dan tenaga kerja, justeru, pelanggan kekal sebagai fokus kami.

"Integrasi yang cekap dalam titik sentuhan runcit dan saluran kami membolehkan kami melayani pelanggan Celcom dan Digi dengan lancar sambil terus meningkatkan perkhidmatan pelanggan," katanya dalam kenyataan berasingan selepas pelancaran itu.

Sementara itu, Idham berkata, livery baharu ini dicipta berdasarkan semangat jenama CelcomDigi, "Mewujudkan dunia yang diilhamkan oleh anda", yang menerapkan tiga prinsip asas, iaitu dinamisme, semangat untuk pelanggan dan kecemerlangan.

"Kami menjangkakan untuk membelanjakan kira-kira RM100 juta dalam beberapa tahun akan datang bagi membina jenama baharu kami," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan perjanjian penjualan saham untuk mengambil alih ekuiti dalam Digital Nasional Bhd bagi pelaksanaan 5G, Idham menyatakan bahawa proses itu kini hampir selesai dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Saya akan menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat pengumuman yang sewajarnya. Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada membina rangkaian terluas dan terpantas untuk pelanggan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 9:10 AM