IDHAM (kanan) dan Albern pada taklimat media di Menara CelcomDigi. FOTO Amirudin Sahib
IDHAM (kanan) dan Albern pada taklimat media di Menara CelcomDigi. FOTO Amirudin Sahib
Noor Hidayah Tanzizi


Petaling Jaya: CelcomDigi berjaya mencapai semua pencapaian integrasi tahun pertama yang membolehkan syarikat itu merealisasikan sinergi kasar lebih RM300 juta pada tahun lalu.

Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu juga menyelesaikan 35 peratus daripada sasaran penyepaduan dan pemodenan rangkaian, mendahului pelan awalnya sebanyak 30 peratus menjelang akhir 2023.

CelcomDigi juga memodenkan lebih 5,600 tapak setakat Disember lalu, membolehkan pelanggan di kawasan pasca penyatuan menikmati kelajuan muat turun yang lebih baik antara 20 peratus dan 26 peratus dan kekuatan isyarat yang lebih baik antara 13 peratus dan 16 peratus.

Pada suku keempat tahun lalu, CelcomDigi melabur RM1,010 juta dalam perbelanjaan modal, menjadikan jumlahnya kepada RM1.75 bilion, diterjemahkan kepada intensiti sebanyak 13.8 peratus pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, pihaknya mencapai kemajuan yang ketara dengan menyepadukan bidang perniagaan sambil bersaing secara berkesan untuk memimpin dalam pasaran.

Menurutnya, pihaknya memperkenalkan jenama CelcomDigi dan melancarkan lebih 50 kempen produk yang mempamerkan dedikasi pihaknya terhadap inovasi dan perhatian pelanggan.

"Pelaksanaan pasaran yang kukuh dan kecemerlangan operasi ini membolehkan kami menyampaikan prestasi yang kukuh dan nilai pemegang saham selaras dengan panduan 2023," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty.

CelcomDigi merekodkan hasil perkhidmatan sebanyak RM2,737 juta pada suku keempat tahun lalu dan terus mengembangkan asas pelanggan berkualitinya dengan penambahan lebih 466,000 pelanggan dari tahun ke tahun, sekali gus menjadikan jumlah pelanggannya kepada 20.6 juta.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 3.5 sen sesaham atau jumlah dividen 2023 sebanyak 13.2 sen sesaham, sejajar dengan komitmen dividen progresifnya kepada pemegang saham.

Idham berkata, pihaknya memulakan 2024 dengan momentum pertumbuhan yang baik dan optimis bahawa mereka akan terus membuka kunci sinergi dan faedah daripada penggabungan itu.

Katanya, fokus yang menjadi keutamaan pihaknya untuk tahun ini ialah mengukuhkan kepimpinan pasaran, kecemerlangan operasi dan jenama yang dipercayai rakyat Malaysia.

"Ia akan menjadi tahun yang mengujakan bagi CelcomDigi apabila kami bergerak lebih ke dalam usaha integrasi dan mengukuhkan kepimpinan pasaran kami dengan menjadi jenama yang rakyat Malaysia boleh percaya dan bergantung pada zaman 'digital-everything'.

"Secara peribadi, adalah satu keistimewaan bagi saya dan pasukan pengurusan untuk membawa dua pasukan yang menakjubkan bersama-sama dalam tahun pertama kami selepas penggabungan (untuk pencapaian 2023)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 6:12 PM