BERNAMA

Kuala Lumpur: CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM317.92 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 berbanding RM236.15 juta pada suku sama tahun lepas berikutan peningkatan tawaran pelanggan dan kualiti rangkaian yang kukuh.

Hasil meningkat kepada RM3.18 bilion daripada RM1.52 bilion sebelum ini, manakala perolehan asas sesaham menyusut kepada 2.71 sen daripada 3.04 sen.

Syarikat itu mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 3.2 sen sesaham berjumlah sehingga RM375 juta.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali rangkaian mudah alih terbesar negara itu berkata syarikat merekodkan pertumbuhan hasil kasar dan keuntungan yang positif, menghasilkan aliran tunai bebas yang baik sebanyak RM696 juta.

Hasil perkhidmatan naik 0.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.67 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menokok 3.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.5 bilion dengan margin EBITDA yang kukuh pada 47.5 peratus.

Keuntungan selepas cukai ternormal, tidak termasuk kesan daripada susut nilai cepat (item bukan tunai) meningkat 16.0 peratus tahun ke tahun kepada RM579 juta.

"CelcomDigi telah mempercepat aktiviti integrasinya dan terus menumpukan kepada pengalaman pelanggan yang lebih baik.

"Selepas perbelanjaan modal (capex) dicepatkan pada suku keempat tahun kewangan 2022 ketika fasa perancangan integrasi, syarikat terus melabur capex sebanyak RM108 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 bagi memenuhi keperluan kapasiti yang meningkat," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata syarikat itu gembira dengan keputusan positif pada suku pertama, yang dilaksanakan selaras dengan bimbingannya.

"Kami mengekalkan asas kukuh untuk beroperasi sebagai syarikat berprestasi tinggi, mengamalkan kecemerlangan operasi. Kami sedang mempercepat usaha integrasi yang menyeluruh, menumpukan kepada membawa manfaat penggabungan kepada pelanggan kami dalam tempoh paling singkat.

"Usaha integrasi organisasi berada di landasan yang tepat, dan syarikat telah beroperasi sebagai entiti tunggal sejak hari pertama, dengan pasukan pengurusan tunggal dan fokus yang teliti untuk memberikan yang terbaik kepada kedua-dua jenama berserta tawaran lebih baik, rangkaian dan pengalaman runcit kepada 20.2 juta pelanggan kami," katanya.

Idham berkata CelcomDigi teruja dengan prospek 5G dan berharap akan memainkan peranan langsung dan lebih aktif untuk melaksanakan rangkaian 5G negara, disokong oleh penyampaian rangkaian 4G yang terluas dan moden di Malaysia.

"Kami juga kekal komited untuk memacu pertumbuhan dalam pergabungan dan penyelesaian perusahaan, memanfaatkan teknologi baharu dan perkongsian dalam penyelesaian 5G, kecerdasan buatan dan Internet Pelbagai Benda -- banyak aspek yang boleh diharapkan pelanggan daripada kami pada masa hadapan," katanya.

Pada rehat tengah hari, saham Celcomdigi meningkat 1.14 peratus kepada RM4.44 dengan 632,100 saham bertukar tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 5:12 PM